Mahkamah Majistret Sri Aman denda dua tertuduh miliki diesel tanpa permit sah

Facebook
WhatsApp
DUA tertuduh dikenakan hukuman denda keseluruhan RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Sri Aman selepas mengaku bersalah atas kesalahan menjalankan urus niaga barang kawalan minyak diesel tanpa lesen atau permit yang sah. Foto KPDN Sarawak

SIMANGGANG, 24 November: Dua tertuduh dikenakan hukuman denda berjumlah RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Sri Aman selepas mengaku bersalah atas kesalahan berurusan dengan barang kawalan minyak diesel tanpa lesen atau permit yang sah.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret, Iris Awen Jon, ketika prosiding sebutan pertama bagi kedua-dua kes berkenaan yang berlangsung semalam.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan tersebut melibatkan urusan berkaitan barang kawalan minyak diesel tanpa memiliki lesen atau permit yang sah seperti ditetapkan undang-undang.

Dalam prosiding berkenaan, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh pertama, dengan hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, tertuduh kedua dikenakan denda sebanyak RM15,000 atas kesalahan sama.

Hukuman berkenaan menjadi peringatan bahawa sebarang urusan membabitkan barang kawalan, khususnya minyak diesel, perlu mematuhi syarat pelesenan dan permit yang ditetapkan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang serta kawalan bekalan negara terus terpelihara.

Oleh Adi Safarman