Lelaki terjatuh ke Sungai Sarawak ditemukan meninggal dunia

Facebook
WhatsApp
PASUKAN mencari dan menyelamat menjalankan operasi mengesan lelaki yang terjatuh ke Sungai Sarawak berhampiran sebuah dermaga di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, Kuching.

KUCHING, 24 November: Lelaki berusia 34 tahun yang terjatuh ke Sungai Sarawak dari sebuah dermaga di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim ditemukan meninggal dunia kira-kira 8.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, Balai Polis Padungan menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 3.25 pagi semalam.

Katanya, anggota polis yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki terbabit terjatuh ke dalam sungai dan usaha awal untuk mengesannya tidak berhasil.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada 8.00 pagi dengan penyertaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pasukan Polis Marin, Pengawal Pantai Sarawak (UKPNS) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Mayat mangsa ditemukan dalam kawasan pencarian dengan bantuan orang awam sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Alexson berkata, kes itu disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu bagi menghormati keluarga mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Balai Polis Padungan, Inspektor Goh Chen Hong, di talian 014-9007007 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Oleh Connie Chieng