MIRI, 23 November: Lima kenderaan turut terbakar dalam kejadian kebakaran sebuah bengkel membaiki dan mengecat kenderaan di sini malam tadi.
Dalam kejadian sekitar 8.37 malam itu, bengkel berkenaan dilaporkan terbakar kira-kira 80 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.37 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong tiba di lokasi pada 8.47 malam.


Menurutnya, operasi pemadaman turut mendapat bantuan anggota BBP Lopeng dengan kekuatan keseluruhan 14 anggota.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan bagi memadam kebakaran.
“Laporan awal mendapati tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Oleh Liong Chai Ling




