Prestasi PISA merosot: Denmark bakal larang penggunaan telefon pintar di sekolah

Facebook
WhatsApp
DENMARK bakal larang penggunaan telefon pintar di sekolah. Foto janaan AI

COPENHAGEN, 23 November: Kerajaan Denmark sedang membuat persiapan untuk melaksanakan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah mulai tahun persekolahan akan datang susulan keputusan terburuk dalam sejarah yang dicatatkan oleh remaja negara itu dalam penilaian prestasi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) terkini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut kenyataan kerajaan pada Isnin, larangan yang turut melibatkan peranti lain dengan akses Internet itu akan dikuatkuasakan sehingga tamat Gred 10, termasuk di pusat jagaan selepas waktu persekolahan.

Satu rang undang-undang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen semasa susulan persetujuan yang dicapai bersama parti lain, menurut kerajaan.

“Kanak-kanak sepatutnya dapat menghadiri sekolah tanpa sentiasa terganggu oleh media sosial, membeli-belah dalam talian atau permainan digital, sebagai contoh,” kata Menteri Pendidikan Magnus Heunicke dalam kenyataan itu.

Pihak sekolah juga akan diwajibkan menggunakan penapis rangkaian bagi menyekat akses kepada laman sesawang yang tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan akademik atau pendidikan.

Penggunaan telefon bimbit sudah pun dilarang di banyak sekolah di Denmark. Tahun lepas, Parlimen mewajibkan sekolah menetapkan peraturan masing-masing bagi memastikan sekolah rendah dan pusat jagaan selepas waktu persekolahan bebas daripada penggunaan telefon sehingga Gred Tiga.

Berbeza dengan peraturan tahun lepas, larangan yang dipersetujui kerajaan kali ini bersifat mandatori dan akan dikuatkuasakan sehingga tamat Gred 10. Bagaimanapun, kaedah pelaksanaannya diserahkan kepada pihak sekolah masing-masing.

PISA, yang mencetuskan semula perdebatan mengenai penggunaan telefon pintar di sekolah di Denmark, mengukur tahap kemahiran pelajar berusia 15 tahun dalam bidang matematik dan sains serta membaca.

Penilaian itu dilaksanakan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) setiap tiga tahun sejak 2000. – Bernama