Wong mahu berehat selepas 35 tahun dalam politik, tetap sokong GPS

Facebook
WhatsApp
WONG pada sidang media di Sibu sebentar tadi.

SIBU, 22 November: Bekas Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dato Sri Wong Soon Koh, 84, berhasrat untuk berehat daripada politik selepas kira-kira 35 tahun berkecimpung dalam arena politik, namun menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang mengumumkan peletakan jawatannya daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) berkuat kuasa semalam berkata, sudah tiba masanya untuk beliau menikmati kehidupan lebih santai bersama keluarga selepas lebih tiga dekad menabur khidmat dalam politik.

“Selepas tiga atau empat dekad dalam politik, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berehat. Saya berhak menikmati kehidupan yang lebih santai dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna saya akan melupakan politik. Saya akan terus memberikan sokongan kepada GPS, khususnya kepada Premier Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung peletakan jawatannya daripada PDP, di sini, sebentar tadi.

Mengulas kemungkinan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Wong berkata, beliau bersedia memberi laluan kepada generasi muda untuk meneruskan perjuangan politik.

“Saya bersedia memberi laluan kepada golongan muda kerana dunia ini akhirnya milik generasi muda,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berhasrat menyertai parti politik lain selepas meninggalkan PDP, Wong berkata, perkara itu belum diputuskan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sekiranya menyertai mana-mana parti pada masa depan, beliau hanya mahu menjadi ahli biasa tanpa memegang sebarang jawatan atau terlibat dalam perebutan kedudukan parti.

“Jika saya menyertai mana-mana parti, saya hanya akan menjadi ahli biasa. Saya tidak berminat lagi dengan jawatan parti atau politik kepartian.

“Saya hanya mahu menjadi sebahagian daripada GPS dan terus memberikan sokongan penuh kepada gabungan itu serta Premier Sarawak,” jelasnya.

Wong menegaskan beliau akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon GPS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan pada PRN akan datang.

“Sesiapa sahaja yang dicalonkan untuk bertanding di Bawang Assan atas tiket GPS, saya akan menyokongnya.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memberikan sokongan kepada calon berkenaan demi memperkukuh GPS secara keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak amat penting ketika negeri ini sedang memperjuangkan hak dan kepentingannya.

“Kita sedang memperjuangkan hak Sarawak dan kepentingan rakyat negeri ini. Perpaduan amat penting dan kita tidak boleh berpecah-belah,” tegasnya.

Terdahulu, Wong mengesahkan beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan secara rasmi daripada PDP pada 22 November, termasuk melepaskan semua jawatan dan pelantikan yang disandangnya dalam parti itu, berkuat kuasa semalam.

Beliau menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati hala tuju politik PDP tidak lagi selaras dengan tujuan, persefahaman dan komitmen asal yang mendorongnya membubarkan PSB serta membawa lebih 8,300 ahlinya menyertai PDP.

Menurutnya, langkah pembubaran PSB sebelum ini dibuat atas dasar kepercayaan dan persefahaman politik untuk memperkukuh kedudukan PDP di Bawang Assan serta mengukuhkan sokongan terhadap GPS.

Bagaimanapun, perkembangan politik selepas itu, sama ada di dalam mahupun di luar parti, didakwanya telah bercanggah dengan tujuan asal penyertaan tersebut.

“Keputusan saya bukan didorong oleh cita-cita politik peribadi atau persoalan sama ada saya akan dicalonkan pada pilihan raya akan datang.

“Ini adalah soal prinsip, persefahaman politik dan komitmen asal yang menjadi asas kepada keputusan saya membubarkan PSB dan menyertai PDP,” katanya.

Wong turut menegaskan keputusan meletakkan jawatan itu adalah muktamad dan beliau tidak menyimpan sebarang perasaan tidak puas hati secara peribadi terhadap kepimpinan PDP atau mana-mana individu.

Ditanya mengenai kemungkinan lebih 8,300 bekas ahli PSB yang menyertai PDP sebelum ini akan mengikut jejak langkahnya, beliau berkata, keputusan itu diserahkan sepenuhnya kepada pertimbangan masing-masing.

“Saya menyerahkan perkara itu kepada mereka kerana saya tidak mahu mempengaruhi keputusan sesiapa. Mereka bebas membuat pertimbangan dan keputusan sendiri,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peletakan jawatannya daripada PDP tidak bermakna beliau meninggalkan GPS atau menarik balik sokongannya terhadap kepimpinan Abang Johari.

“Komitmen saya terhadap Sarawak dan rakyatnya, khususnya penduduk Bawang Assan, kekal tidak berubah. Keputusan saya adalah muktamad,” katanya.

Oleh Akun Giman