PETRA JAYA, 22 November: Sarawak akan terus memperjuangkan hak dan kepentingannya berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan, namun usaha itu dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan ekonomi dan kestabilan Malaysia secara keseluruhan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu menjadi asas perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkukuh kedudukan Sarawak, khususnya dari aspek kuasa, hasil negeri dan pengurusan sumber ekonomi.
Beliau menegaskan, Sarawak tidak mahu perjuangan menuntut hak negeri menjejaskan kepentingan negara, sebaliknya penyelesaian perlu dicapai melalui rundingan dan semangat setia kawan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
“Insya-Allah, mungkin ada penyelesaian atas semangat setia kawan untuk negara Malaysia. Kita tidak mahu bertindak secara keterlaluan kerana kita mengambil kira juga ekonomi negara Malaysia di samping kita berjuang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, penubuhan GPS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 menjadi titik penting kepada perubahan pendekatan politik Sarawak apabila kepimpinan negeri mahu memastikan suara dan kepentingan Sarawak dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, pengalaman ketika berada dalam Barisan Nasional (BN) sebelum itu memperlihatkan keterbatasan Sarawak dalam menentukan beberapa keputusan penting apabila dasar gabungan memerlukan persetujuan bersama.
Katanya, selepas BN tewas di peringkat Persekutuan pada 2018, sedangkan BN Sarawak memenangi pilihan raya negeri, kepimpinan Sarawak mengambil keputusan untuk membentuk gabungan sendiri bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
GPS kemudian menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) pada 2021 dan memperoleh mandat rakyat untuk mentadbir Sarawak.
Abang Johari berkata, mandat itu membolehkan kerajaan GPS mempergiat usaha memperkukuh kedudukan Sarawak berdasarkan MA63, termasuk menggunakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan Cukai Jualan Negeri ke atas produk petroleum.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan cukai berkenaan sebelum ini tidak dapat dilakukan ketika Sarawak berada dalam gabungan politik yang lebih besar, namun kerajaan negeri mengambil langkah meneruskannya sehingga pertikaian berkaitan bidang kuasa berkenaan dibawa ke mahkamah.
Hasil daripada langkah itu, cukai jualan negeri ke atas produk petroleum menjadi antara sumber pendapatan tambahan Sarawak yang digunakan untuk membiayai pembangunan dan memperkukuh kedudukan kewangan negeri.
Dalam tempoh sama, kerajaan negeri turut menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF), yang menurut Abang Johari tidak terkandung dalam manifesto GPS pada PRN-12, tetapi diwujudkan sebagai simpanan strategik untuk manfaat generasi akan datang.
Beliau turut menyentuh usaha memperkukuh penglibatan Sarawak dalam industri minyak dan gas menerusi penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), sebagai kesinambungan perjuangan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem supaya Sarawak memainkan peranan lebih besar dalam pengurusan sumber minyak dan gasnya.
Katanya, penubuhan Petros turut membuka ruang kepada pembangunan industri hiliran, termasuk sektor petrokimia dan pengeluaran metanol melalui Sarawak Petchem Sdn Bhd, yang kini menjadi antara pengeluar metanol utama di rantau ini.
Perkembangan industri berkenaan memperlihatkan usaha Sarawak membina nilai tambah daripada sumber semula jadinya, sekali gus memperluas kegiatan ekonomi dalam sektor tenaga dan petrokimia yang turut menyumbang kepada rantaian industri negara.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata, rundingan antara Petros dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih berjalan, khususnya berkaitan kerangka perundangan dan bidang kuasa dalam pengurusan sumber minyak dan gas.
Beliau berkata, Sarawak akan terus mempertahankan kedudukan perundangannya, termasuk berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (Oil Mining Ordinance 1958) yang masih berkuat kuasa, sambil mencari penyelesaian yang mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menegaskan peningkatan keupayaan kewangan Sarawak membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan berskala besar, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan dalam infrastruktur dan perkhidmatan asas.
Beliau berkongsi bahawa ketika Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakilinya menghadiri mesyuarat Majlis Kewangan Negara, kedudukan hasil negeri-negeri dipaparkan menerusi carta perbandingan pendapatan.
Menurutnya, kedudukan hasil Sarawak yang jauh lebih tinggi berbanding beberapa negeri lain turut mencetuskan gurauan Menteri Besar Kedah yang mencadangkan supaya Sarawak membayar zakat kepada Kedah.
Abang Johari berkata, hasil tahunan Sarawak yang sebelum penubuhan GPS berada sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion kini meningkat kepada kira-kira RM15 bilion, sekali gus mencerminkan pertambahan keupayaan kewangan negeri.
Katanya, peningkatan hasil itu bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi membiayai pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antara komitmen besar kerajaan negeri ialah peruntukan RM8.1 bilion dalam tempoh lima tahun bagi menaik taraf sistem bekalan air di seluruh Sarawak, dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM1.6 bilion setahun.
Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk memperluas dan menambah baik infrastruktur bekalan air, termasuk menggantikan paip lama serta meningkatkan keupayaan sistem agihan bagi memastikan lebih banyak kawasan menikmati bekalan air terawat yang stabil.
Peruntukan berkenaan turut menggambarkan bagaimana peningkatan hasil negeri membolehkan Sarawak membiayai projek pembangunan berskala besar menggunakan kemampuan kewangannya sendiri.
Abang Johari berkata, pendekatan GPS bukan sekadar memperjuangkan hak Sarawak, tetapi turut memastikan kekuatan ekonomi yang dibina dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negeri dan pada masa sama menyumbang kepada kemajuan Malaysia.
Oleh Afiq Sallehi





