PETRA JAYA, 22 November: Lebih 5,000 pemimpin dan anggota parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhimpun di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini, dalam satu perhimpunan besar yang memperlihatkan penyatuan empat parti di bawah satu gabungan politik.
Berbeza dengan perhimpunan parti yang lazimnya didominasi warna dan identiti masing-masing, suasana kali ini memperlihatkan satu identiti bersama apabila semua parti komponen menggunakan lambang GPS sebagai simbol penyatuan.
Perhimpunan itu menghimpunkan kepimpinan tertinggi GPS, termasuk Pengerusinya yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk John Sikie Tayai.
Turut memenuhi ruang konvensyen ialah barisan kepimpinan parti, wakil rakyat, pemimpin sayap parti, ketua-ketua bahagian serta anggota jentera dari pelbagai peringkat, termasuk akar umbi.
Kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi ruang dewan, malah menggambarkan penyelarasan kekuatan organisasi empat parti komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Penyatuan di bawah satu lambang itu membawa mesej bahawa meskipun GPS terdiri daripada empat parti dengan latar belakang dan identiti masing-masing, kesemuanya bergerak sebagai satu pasukan dalam gabungan berkenaan.
GPS yang ditubuhkan pada 2018 menghimpunkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, PRS dan PDP selepas pembentukan landskap politik baharu Sarawak susulan Pilihan Raya Umum ke-14.
Sejak penubuhannya, gabungan itu membawa pendekatan politik berteraskan parti tempatan Sarawak, dengan kerjasama empat komponennya menjadi asas kepada pembentukan kerajaan negeri.
Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki enam kerusi dimenangi parti pembangkang dan calon bebas.
Bagi PRN ke-13, GPS telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan kesemua 82 kerusi DUN, sekali gus menjadikan perhimpunan hari ini sebagai antara platform penting untuk menyatukan jentera gabungan itu sebelum memasuki gelanggang pilihan raya.
Di sebalik perbezaan warna, lambang dan sejarah setiap parti komponen, mesej yang dibawa pada perhimpunan itu jelas, iaitu satu gabungan, satu identiti dan satu matlamat dalam menghadapi PRN Sarawak ke-13.
Oleh Afiq Sallehi




