SIBU, 22 November: Rundingan pembahagian kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) bukan sekadar proses tawar-menawar kerusi, sebaliknya turut mengambil kira kesediaan calon, kekuatan jentera parti dan sokongan pengundi setempat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah berkata faktor berkenaan menjadi pertimbangan utama dalam menentukan parti yang paling bersedia untuk meletakkan calon di sesuatu kawasan.
“Ini bukan bertukar tempat semata-mata tetapi mengambil kira petunjuk-petunjuk tadi bagi menentukan calon daripada parti mana yang ditempatkan untuk satu-satu kerusi itu. Jika tidak, segala usaha akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mahmud berkata rundingan antara ketiga-tiga parti itu setakat ini berjalan lancar dengan matlamat utama untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada PRN13.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perbincangan itu belum menjurus kepada pembentukan sebarang kerjasama politik secara formal.
“Setakat ini tiada perbincangan serius mengenai kerjasama secara formal dalam PRN13. Perbincangan adalah untuk mengelakkan pertembungan antara parti-parti tersebut,” katanya.
Beliau berkata PKR belum dapat mendedahkan kerusi yang bakal ditandinginya bagi menghormati proses rundingan dengan parti lain, namun perkara itu dijangka diketahui selepas 25 November ini.
Mengulas kemungkinan beliau sendiri bertanding pada PRN13, Mahmud berkata tumpuannya ketika ini lebih kepada pengurusan dan persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya itu.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bertanding sekiranya diminta oleh pucuk pimpinan parti.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Roland Engan dilaporkan berkata parti itu merancang untuk mengumumkan calon pada 25 November selepas rundingan pembahagian kerusi bersama DAP dan PBDS dimuktamadkan. – Bernama



