KUCHING: Kerajaan Sarawak komited melakukan pelbagai usaha termasuk bersedia mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.
Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, ia juga sebagai inisiatif Kerajaan Sarawak dalam membantu melengkapkan usaha berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membanteras penularan virus.
“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan JPBN Sarawak untuk membeli segala perubatan yang diperlukan dalam memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan nyawa rakyat kita.
“Ubat ini tidak murah, malah harga untuk satu dos sahaja boleh mencecah RM6,000. Inilah komitmen Ketua Menteri kita untuk memelihara kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya pada pada Majlis Pelancaran Taman Riverbank Batu Kawah di sini, semalam.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Berhubung pelancaran Taman Riverbank Batu Kawah, Dr. Sim berkata, ia merupakan projek warisan di kawasan Batu Kawah, sama seperti Jambatan Datuk Chong Kiun Kong yang siap dibina pada 1994.
Mengulas lanjut, pembinaan Jambatan Datuk Chong Kiun Kong menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi di kawasan itu selain sebagai usaha meningkatkan sistem perhubungan kepada masyarakat setempat.
“Apa yang kita lihat hari ini hanyalah Fasa 1 dan 2 dan bakal ada pembangunan lanjut iaitu Fasa 3, 4 dan 5 untuk taman ini. Justeru, berterima kasih kepada pengundi di Batu Kawah kerana mempercayai dan menyokong saya sejak 2016.
“Sepanjang lima tahun ini, menerusi sokongan rakyat dan peruntukkan daripada kerajaan, Batu Kawah telah menyaksikan perubahan yang amat besar yang memanfaatkan rakyat di sini, dan lebih RM300 juta juga telah disalurkan untuk pembangunan di kawasan ini,” ujarnya.
Menurut beliau, projek itu seharusnya menjadi projek bersama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini, namun Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk memberhentikan pembiayaan disebabkan pertukaran kerajaan pada 2018.
Bagaimananapun, kata Dr. Sim, Abang Johari memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan projek menggunakan dana Kerajaan Sarawak, manakala Perikatan Nasional (PN) yang mula mengambil alih pentadbiran juga menyalurkan sedikit pembiayaan kepada projek itu.
Malah, Abang Johari katanya juga telah meluluskan dana tambahan berjumlah RM5juta untuk melancarkan pelaksanaan projek berkenaan.
Oleh itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Abang Johari kerana meneruskan pelaksanaan projek berkenaan yang dapat membantu Sarawak menjana lebih banyak hasil untuk membangunkan sosioekonomi rakyat di negeri ini.
Oleh SYAMIMI HUSNA