“Tidak terpilih jadi calon bukan alasan untuk merajuk serta sabotaj parti dan GPS” – John Sikie

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN PRS, Dato Sri John Sikie Tayai berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di BCCK hari ini.

PETRA JAYA, 22 November: Ahli parti yang tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 tidak seharusnya menjadikan keputusan itu sebagai alasan untuk merajuk atau mensabotaj parti sendiri dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai berkata, semua ahli perlu menerima keputusan pemilihan calon dan terus memberikan sokongan kepada individu yang dipilih untuk mewakili parti.

“Prinsip inj perlu dipatuhi semua parti komponen GPS, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan PRS.

“Sesiapa yang dipilih menjadi calon, kita sokong. Sesiapa yang tidak dipilih, kita tetap berjuang. Kerana yang penting bukan siapa calon. Yang penting parti kuat, GPS menang dan Sarawak terus stabil.

“Jangan kita jadikan tidak terpilih sebagai calon sebagai alasan untuk berhenti berjuang, merajuk atau mensabotaj parti sendiri dan juga GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Tambah beliau, perselisihan dalam kalangan parti komponen hanya akan memberi kelebihan kepada pihak lawan yang mahu melihat GPS berpecah.

“Sehubungan itu, saya menggesa semua ahli PRS dan jentera GPS supaya menghormati keputusan parti, GPS serta Premier Sarawak dalam proses pemilihan calon.

“Saya turut menegaskan PRS akan memastikan semua kerusi yang diamanahkan kepada parti itu dipertahankan pada PRN-13,” jelasnya.

Beliau turut menggesa jentera PRS, termasuk pergerakan wanita dan pemuda, supaya sentiasa turun padang mendekati masyarakat di rumah panjang dan kampung serta membantu menyelesaikan masalah rakyat, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Jentera parti juga perlu berkempen secara berhemah dengan menyampaikan fakta dan mengelakkan fitnah serta tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan,” ujarnya.

Untuk rekod, PRS merupakan salah satu daripada empat parti komponen GPS dan memenangi kesemua 11 kerusi DUN yang ditandinginya pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, iaitu Balai Ringin, Bukit Begunan, Batang Ai, Ngemah, Tamin, Kakus, Pelagus, Baleh, Belaga, Murum dan Samalaju.

Oleh Masrin Affirah