KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi bayangan awal Dato Sri Dr. Sim Kui Hian akan mempertahankan kawasannya pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) akan datang.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Menteri Sarawak terbabit ketika ditanya pemberita adakah Dr. Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan dinamakan semula sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah nanti.
“Saya rasa berkemungkinan besar (Dr Sim akan mempertahankan kerusi berkenaan). Anda fikir adakah calon lain yang boleh berada di sini?… ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Taman Riverbank Batu Kawah di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata pihaknya hanya akan mengumumkan senarai calon GPS apabila hampir tiba hari penamaan calon nanti.
Sehubungan itu katanya, tidak sesuai untuk beliau mendedahkan senarai calon ketika ini kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu sahaja dibubarkan.
Ketika ditanya sama ada adakah timbalan ketua menteri akan dilantik daripada masyarakat Cina sekiranya GPS menang nanti, Abang Johari berkata keputusan itu hanya akan dibuat setelah pelaksanaan PRN.
“Buat masa ini, diminta agar semua pihak jangan membuat sebarang spekulasi dahulu. Apa yang saya katakan, ia terpulang kepada masyarakat Cina dan kita akan berbincang mengenainya setelah PRN nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pembangunan semula di DUN Bukit Assek di Sibu demi kesejahteraan penduduk di kawasan itu meskipun ia merupakan kawasan pembangkang.
Mengulas lanjut katanya, perancangan tersebut telah dirancang sejak dua tahun yang lalu bahkan kerajaan negeri turut telah mewujudkan Jawatankuasa Pembaharuan Bandar Sibu dan Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah untuk tujuan tersebut.
“Kita akan buat kajian semula di kawasan tersebut seperti pembangunan semula di kawasan bandar. Ini kerana kawasan itu merupakan kawasan ‘water lock’ dan banyak rumah usang selain tidak sesuai untuk kesihatan yang mengundang masalah seperti penyakit denggi.
“Proses pembangunan semula di setiap kawasan memerlukan sokongan rakyat selain juga akan melibatkan kerajaan serta agensi pelaksana seperti yang dilakukan di Darul Hana di Kuching. Ia melibatkan proses pemindahan rumah penduduk yang terjejas sebagai usaha kita untuk melaksanakan pembangunan semula di kawasan tersebut,” ujar beliau lagi.
Oleh SYAMIMI HUSNA