SIBU, 22 November: Sebuah kereta ditemukan tenggelam sepenuhnya di dalam parit besar di Jalan Kong Yit Khim, Stabau, di sini, selepas dipercayai terbabas awal pagi tadi.
Ketua Zon Bomba Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.21 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan awal mendapati sebuah kereta telah tenggelam sepenuhnya di dalam parit besar seperti yang dilaporkan.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa yang masih terperangkap di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tiga anggota diarahkan memakai jaket keselamatan serta memasang tali keselamatan peribadi sebelum menghampiri kenderaan untuk menjalankan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa ditemukan di dalam kereta tersebut.
Menurutnya, berdasarkan maklumat pemilik kenderaan yang diperoleh menerusi nombor pendaftaran dengan bantuan pihak polis di lokasi, kereta berkenaan dipercayai terbabas ke dalam parit kira-kira 4.00 pagi.
Pemilik kenderaan bagaimanapun berjaya keluar sendiri sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dimaklumkan masih belum membuat laporan di balai polis berdekatan.
Oleh Tarani Lanting




