Program Santuni MADANI buka peluang ekonomi baharu kepada penduduk luar bandar Julau

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien menyerahkan peruntukan kepada penerima. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU, 22 November: Penduduk luar bandar berpeluang meneroka sumber pendapatan tambahan menerusi pendedahan kepada kemahiran pemprosesan hasil komoditi dan penghasilan produk kreatif sempena Program Santuni MADANI yang akan berlangsung pada 26 November ini.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, program yang dijadualkan berlangsung pada 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Dewan Komuniti Julau itu bakal menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memperkenalkan peluang ekonomi, menyediakan maklumat serta berkongsi pengetahuan yang boleh dimanfaatkan masyarakat setempat.

Katanya, inisiatif tersebut amat relevan kepada penduduk luar bandar, khususnya mereka yang bergantung kepada sektor pertanian dan sumber tempatan sebagai punca pendapatan.

“Program seperti ini sangat bermanfaat kepada masyarakat luar bandar kerana ia memberi mereka peluang untuk mendapatkan maklumat, mempelajari kemahiran baharu dan mencari peluang yang boleh digunakan untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Jalan Merurun di Rumah Ngabong, Merurun, kelmarin.

Tambahnya, antara agensi yang terlibat dalam Program Santuni MADANI ialah Lembaga Minyak Sawit (MPOB), Lembaga Lada (MPB), Lembaga Koko (LKM) dan Lembaga Perindustrian Kayu (MTIB), selain agensi lain yang berkaitan dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi.

“Kehadiran agensi tersebut akan menyediakan pelbagai pengisian antaranya kursus, pameran dan penerangan berkaitan bidang masing-masing yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat khususnya penduduk di luar bandar.

“Kawasan Julau mempunyai penduduk yang ramai yang menjalankan aktiviti pertanian dan industri perkayuan. 

“Justeru, kita mahu mereka didedahkan dengan potensi ekonomi yang boleh diterokai melalui sumber dan kemahiran sedia ada,” katanya.

Larry juga memberi contoh potensi menghasilkan produk berasaskan kayu gaharu yang boleh diproses menjadi minyak wangi, serta menghasilkan produk kreatif menggunakan bahan epoksi seperti jam dan meja yang diperkenalkan sebelum ini.

“Pelbagai kemahiran tersebut berpotensi membuka ruang kepada masyarakat menerokai aktiviti ekonomi baharu dan menjana pendapatan tambahan.

“Saya berharap penduduk dari seluruh kawasan Julau dapat datang beramai-ramai bagi memanfaatkan peluang yang disediakan melalui program tersebut,” katanya.

Larry turut menyerahkan peruntukan berjumlah keseluruhan RM71,600 kepada beberapa rumah panjang, biro wanita dan projek kemudahan komuniti sempena majlis perasmian Projek Jalan Merurun.

Antara penerima ialah Rumah Ngabong, Merurun; Rumah Umpur, Nanga Lamba; Rumah Guma, Merurun; Rumah Richard, Bukit Kunyit; dan Rumah Seman, Bukit Kelatai.

Turut menerima peruntukan ialah Biro Suri Rumah Ngabong, Biro Rumah Richard, Merurun dan projek Jalan Tanah Perkuburan Sekura yang melibatkan Rumah Richard, Bukit Kunyit.

Katanya, peruntukan tersebut bertujuan membantu pelaksanaan keperluan pembangunan dan aktiviti komuniti yang telah dikenal pasti di kawasan terbabit.

Larry berharap bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk rumah panjang, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan masyarakat luar bandar.

Oleh Earl Anek