Bolot 10 anugerah, ‘Khadam’ dinobat Filem Terbaik FFM35

Facebook
WhatsApp
PRODUKSI Filem Khadam bergambar bersama selepas memenangi Anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 November: Filem Khadam dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya di sini malam ini.

Kejayaan itu melayakkan filem berkenaan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif bernilai RM1 juta dan trofi.

Kemenangan itu sekali gus menundukkan empat lagi finalis dalam kategori sama, iaitu Mother Bhumi, Malam Terlarang, Macai dan Abah Saya Uncle Mike.

Dokumentari ‘Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin’ dinobatkan sebagai Dokumentari Terbaik, sekali gus mengiktiraf karya yang mengangkat perjalanan hidup penuh inspirasi atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin.

Anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dengan diiringi Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Arul Rajoo Durar Raj. 

Selain itu, Khadam mendominasi malam pengiktirafan tersebut apabila merangkul sembilan kategori lain, menjadikan keseluruhan 10 trofi dirangkul filem berkenaan.

Pengarah filem berkenaan, Shamyl diumumkan sebagai Pengarah Terbaik manakala pelakon cilik Zarra Zhaf memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Khadam turut memenangi trofi dalam kategori Tatarias/Solekan Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik/Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Anugerah Khas Juri menerusi Aghniny Haque.

Sementara itu, filem Badak turut mencipta kecemerlangan apabila membawa pulang tiga trofi menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Anugerah Khas Sepanjang Zaman pula diberikan kepada seniman dan seniwati legenda negara, iaitu Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud manakala trofi Anugerah Khas Karyawan menjadi milik pengarah veteran Panchacharam P. Nalliah (Pansha). 

Bertemakan “Spektrum Sinema”, setiap pemenang FFM35 menerima wang tunai RM5,000 dan trofi.

Berikut ialah senarai pemenang FFM35:

Filem Terbaik: Khadam

Pengarah Terbaik: Shamyl (Khadam)

Pengarah Harapan: Ezrie Gazali (Abah Saya Uncle Mike)

Cerita Asal Terbaik: Macai

Lakon Layar Terbaik: Khadam

Pelakon Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Badak)

Pelakon Wanita Terbaik: Aida Amron (Badak)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Kuben Mahadevan (Macai)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Zarra Zhaff (Khadam)

Pelakon Lelaki Harapan: Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven)

Pelakon Wanita Harapan: Aila Azizul (Malam Terlarang)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: The Waves Will Carry Us

Anugerah Khas Juri 1: Aghniny Haque (Khadam)

Anugerah Khas Juri 2: Badak

Anugerah Khas Karyawan: Panchacharam P. Nalliah (Pansha)

Anugerah Khas Sepanjang Zaman 1: Ahmad Yatim 

Anugerah Khas Sepanjang Zaman 2: Fauziah Ahmad Daud

Anugerah Khas Filem Box Office: Papazola The Movie

Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik: Tarung: Unforgiven

Penyunting Terbaik: The Waves Will Carry Us

Sinematografi Terbaik: Khadam

Penataan Seni Terbaik: Mother Bhumi

Penataan Bunyi Terbaik: Khadam

Lagu Tema Terbaik: Khadam

Skor Muzik Asal Terbaik: Khadam

Kesan Khas Visual Terbaik: Malam Terlarang

Poster Terbaik: Blues

Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Gayong 2

Tatarias/Solekan Terbaik: Khadam

Filem Pendek Terbaik: Salted Fish (Ikan Masin)

Dokumentari Terbaik: Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin

– Bernama