Program Santai Belia perkukuh silaturahim, perkasa potensi golongan muda

Facebook
WhatsApp
ALBUM ... Datuk Rosey Yunus rakam kenangan bersama para belia Bekenu pada Program Santai Belia di Arena Sibuti semalam.

BEKENU, 21 November: Program Santai Belia bukan sekadar platform untuk menghimpunkan golongan muda, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim, bertukar-tukar kemahiran serta membentuk generasi belia yang lebih berpengetahuan dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, penglibatan belia dalam program seumpama itu penting bagi membina keyakinan diri, memperluas pengalaman serta melahirkan individu yang mempunyai nilai positif dalam kehidupan.

SIMBOLIK… Datuk Rosey Yunus mengibarkan bendera simbolik pelepasan peserta Fun Walk 2026 (Pyjamas Theme) sekitar pekan Bekenu jam 6.30 pagi dengan penyertaan masyarakat setempat seramai 300 orang

Menurutnya, golongan belia perlu mengambil peluang melalui aktiviti yang dianjurkan untuk saling berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Belia N.71 Bekenu yang berlangsung di Arena Sibuti hari ini.

Rosey turut menekankan bahawa hubungan baik dalam kalangan belia perlu terus dipupuk bagi mewujudkan semangat kerjasama, persefahaman dan perpaduan dalam komuniti.

Katanya, belia bukan sahaja perlu aktif dalam kegiatan sosial, malah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan supaya menjadi insan berguna serta mampu memainkan peranan dalam pembangunan kawasan dan negeri.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai wadah mendekatkan golongan belia, di samping mencungkil potensi dan bakat mereka untuk masa depan yang lebih baik.

Terdahulu, Program Santai Belia ini turut mengadakan Fun Walk 2026 (Pyjamas Theme) sekitar pekan Bekenu jam 6.30 pagi dengan penyertaan masyarakat setempat seramai 300 orang.

Oleh Adum Liu