Dua penghuni rumah dinasihatkan berpindah susulan tanah runtuh di Kapit

Facebook
WhatsApp
PASUKAN BOMBA....Menjalankan pemantauan tanah runtuh di kawasan perumahan baharu Country Heights, Jalan Ulu Sungai Kapit, petang tadi.

KAPIT, 21 November: Dua penghuni rumah di kawasan perumahan baharu Country Heights, Jalan Ulu Sungai Kapit dinasihatkan berpindah ke tempat lebih selamat susulan kejadian tanah runtuh yang masih menunjukkan pergerakan petang tadi.

Kejadian yang turut melibatkan deretan rumah kedai itu dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit pada 5.41 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati keadaan tanah di kawasan berkenaan masih bergerak dan berpotensi mendatangkan bahaya kepada penduduk serta orang awam.

Kejadian itu membabitkan kawasan tanah runtuh dianggarkan seluas 200 kaki x 700 kaki.

Susulan keadaan itu, anggota bomba memasang sawar keselamatan bagi menghalang orang awam daripada memasuki kawasan terjejas.

PASUKAN BOMBA….Menjalankan pemantauan tanah runtuh di kawasan perumahan baharu Country Heights, Jalan Ulu Sungai Kapit, petang tadi.

Pemilik premis rumah kedai turut dinasihatkan menghentikan operasi perniagaan buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat.

Nasihat supaya berpindah turut diberikan kepada dua penghuni rumah di kawasan perumahan baharu berhampiran sebagai langkah mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi menilai keadaan tanah runtuh dan memastikan keselamatan kawasan sekitarnya.

Operasi melibatkan enam anggota BBP Kapit itu terkawal pada 6.30 petang dan ditamatkan pada 6.32 petang.

Oleh Akun Giman