MUNICH, 21 November: Penyerang bintang Bayern Munich, Harry Kane berikrar akan kembali beraksi dan membantu pasukannya yang dibelenggu kecederaan menjelang “fasa penting musim ini” selepas menjalani pembedahan pada buku lali kirinya pada Sabtu.
Kane terpaksa meninggalkan padang selepas 20 minit perlawanan apabila Bayern seri 1-1 dengan Cologne dalam aksi Bundesliga di laman sendiri pada Jumaat. Kelab itu mengesahkan kapten England berkenaan mengalami koyakan ligamen pada buku lalinya.
Bayern dalam kenyataan memaklumkan pemenang Ballon d’Or itu “berjaya menjalani pembedahan” pada buku lali kirinya.
“Pemain berusia 33 tahun itu kini akan memulakan program pemulihan,” menurut kenyataan kelab berkenaan. Kecederaan itu dijangka menyebabkan Kane terpaksa berehat selama tiga hingga empat bulan.
Kane turut memuat naik gambar dirinya di katil hospital menerusi media sosial pada Sabtu sambil berjanji akan berusaha memulihkan kecergasannya untuk kembali beraksi pada musim ini.
“Begitulah kehidupan, ada pasang surutnya! Sudah tentu saya amat kecewa dengan kecederaan ini, namun seperti biasa, ini peluang untuk menunjukkan ketabahan dan meningkatkan prestasi menjelang 2027.
“Saya akan kembali dengan lebih segar dan bersedia untuk menghadapi fasa penting musim ini.”
Kane turut berkongsi petikan kata-kata penerima bola sepak Amerika yang tiga kali menjuarai Super Bowl, Julian Edelman: “Masa sukar tidak akan kekal, tetapi orang yang tabah akan terus bertahan”, selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengirimkan mesej sokongan.
Kane mempunyai sejarah kecederaan buku lali, namun hanya terlepas beberapa perlawanan sejak menyertai Bayern pada 2023.
Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, pastinya akan memantau perkembangan proses pemulihan pemain yang paling banyak membuat penampilan bersama skuad kebangsaan England itu.
England dijadual menentang Norway pada suku akhir Liga Negara-Negara pada penghujung Mac.
Bayern dibelenggu kecederaan
Kecederaan itu berlaku pada waktu sukar buat Bayern yang kini kehilangan beberapa pemain, khususnya di bahagian serangan.
Bayern terpaksa beraksi tanpa Luis Diaz, Serge Gnabry, Alphonso Davies, Ismael Saibari dan kapten pasukan, Manuel Neuer, sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada Jumaat, Michael Olise, antara beberapa penyerang Bayern yang masih cergas, terjatuh selepas menerima terjahan pada penghujung separuh masa pertama.
Walaupun meneruskan permainan sehingga tamat separuh masa, pemain kebangsaan Perancis itu tidak kembali beraksi pada babak kedua.
Ketiadaan Olise menyaksikan pemain sayap Jerman berusia 18 tahun, Lennart Karl, menjadi pemain paling berpengalaman dalam barisan serangan Bayern, bersama pertahanan Nathaniel Brown yang digerakkan ke posisi sayap kiri.
Bagaimanapun, juara bertahan Bundesliga itu menerima sedikit khabar gembira pada Jumaat apabila pemain tengah Jamal Musiala dan jurulatih Vincent Kompany kembali selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Kompany kembali ke bangku simpanan dengan lengannya disokong anduh selepas mengalami kecederaan terkehel bahu ketika rebah di padang latihan sebelum dimasukkan ke hospital akibat kerengsaan meninges pada Oktober.
Musiala pula dimasukkan sebagai pemain gantian dengan baki 20 minit permainan, sekali gus membuat penampilan pertamanya dalam tempoh dua bulan.
Diaz dijangka kembali daripada kecederaan bagi perlawanan Liga Juara-Juara Bayern menentang Lille pada Rabu, manakala Kompany berkata petunjuk awal menunjukkan kecederaan Olise tidak serius.
“Ia hanya langkah berjaga-jaga, saya rasa. Saya berharap Michael akan kembali pada Isnin,” kata Kompany.
Bayern kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam semua pertandingan dalam kalangan kelab dari lima liga utama Eropah.
Bagaimanapun, keputusan seri membuka peluang kepada Borussia Dortmund untuk memintas Bayern di puncak liga sekiranya menewaskan Borussia Moenchengladbach pada Sabtu. – AFP



