Pearly-Thinaah mara ke final terbuka Hong Kong

Facebook
WhatsApp
Pearly-Thinaah mara ke final terbuka Hong Kong. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 November: Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah mara ke perlawanan akhir Terbuka Hong Kong selepas menewaskan rakan senegara, Zi Yu Low-Noraqilah Maisarah dalam aksi separuh akhir di Arena Kai Tak hari ini.  

Pasangan nombor empat dunia itu memenangi perlawanan dengan keputusan 21-13, 21-19 untuk menempah tempat ke perlawanan akhir esok.  

Pearly-Thinaah akan bertemu pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi, yang menewaskan beregu Indonesia, Amallia Cahaya Pratiwi-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-16, 23-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.  

Nakade-Takahashi mempamerkan ketenangan ketika berdepan saingan sengit untuk menundukkan pasangan Indonesia sekali gus mengesahkan tempat mereka ke perlawanan akhir.  

Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie gagal mara ke perlawanan akhir selepas tewas 17-21, 18-21 kepada pilihan utama China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi separuh akhir. – Bernama