MBKS diminta jelaskan kerja pembaikan longkang tidak lengkap di Lorong Kempas 3

Facebook
WhatsApp
MICHAEL Kong menunjukkan longkang di Lorong Kempas 3 yang masih belum dibaiki.

KUCHING, 20 November: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) digesa menjelaskan mengapa kerja pembaikan longkang di Lorong Kempas 3 tidak dilaksanakan secara menyeluruh sehingga longkang di bahagian belakang beberapa rumah masih belum dibaiki selepas bertahun-tahun.

Pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, MBKS pernah menjalankan kerja pembaikan longkang di kawasan itu beberapa tahun lalu, namun skop kerja yang dilaksanakan berbeza antara rumah yang bersebelahan.

Beliau berkata, longkang di bahagian hadapan, sisi dan belakang rumah bernombor 107 hingga 110 telah dibaiki, manakala bagi rumah bernombor 99 hingga 106, hanya longkang di bahagian hadapan yang menerima pembaikan.

Katanya, longkang di bahagian belakang rumah berkenaan langsung tidak disentuh dan masih belum dibaiki sehingga kini.

Kong mempersoalkan mengapa penduduk di kawasan perumahan yang sama menerima layanan berbeza, selain membangkitkan kemungkinan perkara itu berpunca daripada kelemahan perancangan projek atau kegagalan pihak bertanggungjawab memantau pelaksanaan kerja sehingga selesai.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana MBKS dapat menjelaskan penggunaan wang awam bagi projek pembaikan longkang yang masih belum disiapkan sepenuhnya selepas bertahun-tahun.

“Projek awam tidak sepatutnya dianggap selesai hanya kerana sebahagian kerja telah dilaksanakan. Pihak majlis mesti memastikan semua kerja yang diperlukan disiapkan dengan sempurna,” katanya.

Kong menggesa MBKS memberikan penjelasan mengenai ketidakselarasan pelaksanaan kerja itu, menjalankan pemeriksaan segera terhadap longkang di bahagian belakang yang masih belum dibaiki serta menetapkan jadual yang jelas bagi menyelesaikan kerja-kerja tertunggak.

Beliau menegaskan bahawa penduduk tidak sepatutnya terus menanggung masalah yang belum diselesaikan sementara menunggu pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan.

Katanya, MBKS perlu menangani isu itu dan memastikan semua kerja pembaikan yang diperlukan diselesaikan dengan sempurna.

Oleh Connie Chieng