Kampung Penat dan SK Dua Sungai terima peruntukan sejumlah RM600,000

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI Kampung Penat Oya, Mukah bertempat di Dewan Kampung Penat Oya, hari ini. Foto Adibfahmy.

MUKAH, 20 November: Sejumlah RM600,000 diperuntukkan untuk memajukan prasarana Kampung Penat dan Sekolah Kebangsaan Dua Sungai selaras dengan pelaksanaan Program Santuni MADANI di sini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kira-kira RM500,000 disalurkan untuk Kampung Angkat MADANI di Kampung Penat bagi menaik taraf dewan dan tandas awam, membina gelanggang sepak takraw serta menyelenggara padang bola sepak.

DATUK Hanifah Hajar Taib ketika menandatangani penyerahan projek Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani. Foto Adibfahmy.

Manakala, sejumlah RM100,000 pula disalurkan menerusi Program Sekolah Angkat MADANI di SK Dua Sungai bagi menaik taraf bilik rawatan, tempat memberus gigi dan mencuci tangan, peralatan pembelajaran, televisyen pintar di makmal sains serta kemudahan di ruang makan murid dan bilik guru.

“Program Santuni Madani yang diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ini telah diberikan kepada beberapa Menteri, Timbalan menteri atau ketua setiausaha di setiap kementerian persekutuan untuk mempertingkatkan Kampung di kawasan mereka. 

“Program ini memberikan kelebihan kepada wakil rakyat tertentu untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat kampung terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI Kampung Penat Oya, Mukah sempena Karnival Program Satu Pemimpin Satu Kampung,Parlimen P.213 Mukah 2026 bertempat di Dewan Kampung Penat Oya, hari ini.

DATUK Hanifah Hajar Taib ketika menyampaikan cenderamata kepada Rakan Strategik. Foto Adibfahmy.

Beliau turut menyifatkan program sebegini mampu membantu dari segi memahami keperluan sebenar penduduk di samping mengetengahkan potensi kampung yang dapat dimajukan serta dapat membantu masyarakat setempat dengan lebih berkesan. 

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan turut menggerakkan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang menekankan langkah pencegahan dan penjagaan kesihatan menyeluruh berbanding merawat. 

“Untuk mencapai tujuan ini, kita menggalakkan gaya hidup sihat dan mewujudkan persekitaran yang bersih supaya kualiti hidup dapat ditingkatkan.

“Justeru, kita perlu rajin memastikan tiada air bertakung agar pembiakan nyamuk Aedes tidak berlaku,” katanya lagi.

DATUK Hanifah Hajar Taib ketika menyampaikan cenderamata kepada pemenang aktiviti Penggerak Komuniti Aktif: Sihat Itu Saya!’ Foto Adibfahmy.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati masyarakat agar mengurangkan pengambilan gula, garam dan makanan berlemak untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan. 

Hanifah turut mengingatkan penduduk untuk tidak membuang sampah ke dalam sungai dan laut kerana pencemaran tersebut akan memberi kesan buruk kepada hidupan akuatik serta manusia sendiri.

Sementara itu, karnival tersebut turut diisi pelbagai pengisian bersama agensi terlibat antaranya jalan santai, pengutipan sampah, saringan kesihatan, pameran dan aktiviti kemasyarakatan bagi memberi manfaat berterusan kepada masyarakat setempat.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Mahathar Abd Wahab yang menyelia kedua-dua usaha Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI tersebut, serta barisan pegawai kementerian, agensi kerajaan dan pemimpin setempat.

Oleh Adam Fahmy