KOTA SAMARAHAN, 20 November: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) menyasarkan pengambilan kumpulan pertama pelajar di Kota Samarahan pada Oktober 2027 menerusi penubuhan kolej interim yang dirancang beroperasi sebaik memperoleh kelulusan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pembukaan pejabat urusan KPTM di Kota Samarahan hari ini merupakan langkah pertama institusi itu dalam memperluas peluang pendidikan tinggi, khususnya kepada golongan muda Bumiputera di Sarawak.

Menurutnya, pihak KPTM merancang menggunakan sebuah bangunan berdekatan pejabat urusan berkenaan sebagai kolej interim yang akan menempatkan bilik kuliah, bilik pensyarah dan makmal.
Katanya, kelulusan di peringkat MARA tidak menghadapi sebarang masalah, namun pihaknya masih menunggu pengesahan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum pelaksanaan kolej interim dapat dimulakan.
“Insya-Allah, jika kita mendapat pengesahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, usaha untuk kolej interim itu akan dilaksanakan seberapa segera dan kita jangka pengambilan pertama pada Oktober tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pejabat Urusan KPTM di Kota Samarahan, hari ini.
Bagi peringkat permulaan, KPTM mengenal pasti tiga program diploma untuk ditawarkan iaitu Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Perniagaan Digital dan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Rubiah berkata, ketiga-tiga bidang itu dikenal pasti berdasarkan hasil libat urus bersama kerajaan negeri melalui Kementerian Pendidikan, Inivasi dan Pembangunan Bakat, Kementerian Pendidikan dan Yayasan Sarawak bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir Sarawak menjelang 2030.
Beliau berkata, sasaran awal pengambilan pelajar di Kota Samarahan ialah seramai 250 orang, manakala KPTM kini mempunyai kira-kira 310 pelajar dari Sarawak yang sedang mengikuti pengajian di kampus institusi itu di Semenanjung Malaysia.
Dalam perancangan jangka panjang, KPTM turut menyasarkan pembangunan kampus tetap berhampiran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mampu menampung sehingga 1,500 pelajar dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.
Katanya, kampus berkenaan bukan sahaja menyediakan kemudahan pentadbiran dan pengajaran, malah turut dirancang mempunyai kemudahan asrama untuk pelajar.
Beliau menegaskan, penubuhan KPTM di Kota Samarahan bukan bertujuan bersaing dengan institusi pendidikan tinggi sedia ada, sebaliknya melengkapkan ekosistem pendidikan serta memperluas peluang anak Sarawak melanjutkan pengajian selepas SPM.



