BEKENU, 20 November: Pengiktirafan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Subis sebagai Mini Depo simpanan keperluan bencana dijangka memperkukuh kesiapsiagaan bantuan awal kepada mangsa bencana, khususnya ketika berlakunya banjir dan cuaca tidak menentu.
Kemudahan itu membolehkan stok bekalan kecemasan disimpan terus di Bekenu dan dipantau setiap hari oleh kakitangan tetap, sekali gus mempercepatkan penyaluran bantuan kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berucap demikian pada Majlis Perasmian Pejabat Kebajikan Masyarakat Subis di sini hari ini.
Katanya, sehingga 17 November lalu, Daerah Subis merekodkan sebanyak 205 kes bencana yang melibatkan 6,460 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 31,837 mangsa, dengan jumlah keseluruhan bantuan disalurkan mencecah RM2,818,600.
Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes melibatkan kemarau, 90 kes banjir, empat kes kebakaran dan satu kes tanah runtuh.
Beliau selaku penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu menambah, bagi memperkukuh kesiapsiagaan, Stor Bencana Daerah Subis turut dilengkapi pelbagai bekalan dan kelengkapan asas bagi memenuhi keperluan mangsa yang terjejas.
Antara bekalan disediakan ialah 50 set kelengkapan tidur, 120 unit makanan retort NADMA, 50 set Hygiene Kit, 10 set DRA Box sumbangan Petronas, lima kotak lampin pakai buang pelbagai saiz, 30 unit C-Tent serta dua unit kerusi roda.
Kemudahan Mini Depo itu diharap dapat meningkatkan keupayaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di peringkat daerah, selain mengurangkan kebergantungan kepada penghantaran bekalan dari luar daerah bagi memenuhi keperluan awal mangsa bencana, katanya.
Dalam pada itu, pengurusan bencana bukan tanggungjawab JKMS semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta, pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat, sukarelawan serta penduduk setempat.
Mini Depo berkenaan juga berperanan melengkapkan usaha agensi penyelamat dan bilik gerakan bencana daerah, khususnya dalam aspek kebajikan serta penyediaan bantuan kepada mangsa.
Keselamatan nyawa hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, manakala orang ramai diingatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat berkaitan bencana melalui saluran rasmi, jelasnya lagi.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad, Pegawai Daerah Subis Ashard Samshu dan ketua-ketua masyarakat dan kaum setempat.
Oleh Adum Liu



