Dato Dr Sim raikan ulang tahun kelahiran ke-88, legasi perubatan terus dikenang

Facebook
WhatsApp
DATO Dr Sim Swee Liang (tengah) bersama Datin Irene Chew dan Dato Dr Sim Kiang Chiok pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-88 di Kuching, hari ini.

KUCHING, 20 November: Pengalaman lebih enam dekad dalam bidang perubatan serta sumbangan terhadap kesedaran kesihatan masyarakat menjadi antara legasi yang mewarnai perjalanan hidup Dato Dr Sim Swee Liang yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-88 hari ini.

Beliau yang merupakan graduan perubatan dari Universiti Adelaide pada 1965 turut memperoleh kelayakan profesional daripada Royal Australasian College of Physicians sebelum berkhidmat sebagai pakar perubatan kanan di Hospital Umum Sarawak.

DATO Dr Sim Swee Liang (tengah) bersama ahli keluarga dan sahabat yang hadir meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-88 di Kuching, hari ini.

Selepas itu, beliau menubuhkan klinik perubatan swasta, Sim Medical Clinic, di Jalan Carpenter, Kuching, yang didaftarkan secara rasmi pada 26 September 1978.

Selain menjalankan amalan perubatan, Dato Dr Sim turut memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat apabila menjadi antara perintis penubuhan Persatuan Diabetes Sarawak pada 1980.

Beliau berkhidmat sebagai Naib Pengerusi pengasas persatuan berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pelaksanaan usaha meningkatkan kesedaran, saringan serta pendidikan awam berkaitan penyakit diabetes.

Atas sumbangan dan khidmat baktinya, beliau turut dianugerahkan Darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran Dato.

Dalam kehidupan berkeluarga, beliau bersama isterinya membesarkan tiga orang anak yang kesemuanya mengikuti jejak langkah beliau dalam bidang perubatan.

Dua anak lelakinya kini menjalankan amalan perubatan di Australia, manakala anak perempuannya berkhidmat di England. Beliau turut dikurniakan tujuh orang cucu.

Perjalanan hidup beliau turut memperlihatkan sisi kerohanian apabila memeluk agama Katolik pada awal 2000-an, dengan mengimbangi latar belakang profesional dalam bidang sains bersama pegangan kepercayaan.

Sambutan ulang tahun kelahirannya kali ini diraikan bersama ahli keluarga dan sahabat terdekat di Kuching sebagai penghargaan terhadap perjalanan hidup serta sumbangan beliau kepada masyarakat.

Pada usia 88 tahun, legasi Dato Dr Sim bukan sahaja terpancar melalui pencapaian profesionalnya, malah turut mencerminkan nilai khidmat bakti, ketabahan dan inspirasi yang ditinggalkan kepada generasi seterusnya.

Oleh Adele Rissa