SPAOH, 20 November: Seramai 17 peserta Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Ternakan Ayam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima bantuan input makanan ternakan bagi memperkukuh usaha penternakan ayam kampung sebagai sumber pendapatan keluarga.
Bantuan berkenaan merangkumi makanan ternakan jenis makanan permulaan ayam pedaging dan Jagung B yang disalurkan secara berperingkat bagi memastikan keperluan asas pemakanan ayam peserta dapat dipenuhi, sekali gus mengurangkan beban kos operasi.
Penyaluran bantuan itu merupakan kesinambungan sokongan kerajaan selepas peserta sebelum ini menerima bantuan bahan binaan dan peralatan bagi membolehkan mereka menyediakan kemudahan reban ayam masing-masing.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban itu melibatkan peserta dari 11 rumah panjang, iaitu Bangkit Ijok, Luban Ulu, Penunus, Rimbas Tengah, Babu Sedebau, Nanga Lop, Nanga Teru Atas, Ulu Bayor, Nanga Ulai, Ulu Teru dan Tanjong Asal.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan secara berperingkat itu bertujuan memastikan setiap peserta mendapat sokongan bersesuaian mengikut keperluan dan perkembangan pelaksanaan projek.
“Melalui projek ini, kita mahu membantu peserta membangunkan aktiviti penternakan ayam kampung dengan menyediakan keperluan asas yang diperlukan.
“Bantuan diberikan dalam bentuk barangan dan peralatan, serta disalurkan secara berperingkat mengikut pelaksanaan projek,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan dengan memberikan perhatian kepada aspek pengurusan ternakan, penjagaan ayam serta penggunaan bantuan secara berkesan.
“Kita mahu peserta bukan sahaja menjalankan penternakan untuk kegunaan sendiri, tetapi berusaha mengkomersialkannya.
“Dengan pengurusan yang baik dan komitmen berterusan, projek ini berpotensi meningkatkan pendapatan keluarga serta menyumbang kepada bekalan ayam kampung untuk pasaran tempatan,” katanya.
PROSPEK merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memperkasa sosioekonomi masyarakat luar bandar melalui pembangunan aktiviti ekonomi di kampung sedia ada.
Di Sarawak, pelaksanaannya diselaraskan oleh Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), manakala SLDB bertindak sebagai agensi pelaksana bagi kawasan Bahagian Betong.
Inisiatif itu diharap dapat melahirkan lebih ramai penternak berdaya saing, meningkatkan produktiviti serta membuka peluang kepada peserta untuk mengembangkan penternakan ayam kampung sebagai perusahaan komersial yang mampu menjana pendapatan mampan.
Oleh Adi Safarman




