Golongan muda semakin memahami inisiatif kerajaan Sarawak menerusi SKS

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama Datu Felicia Tan Ya Hua, Mackos Sibong serta ketua-ketua jabatan pada Majlis Pra-Pelancaran Program Sarawakku Sayang (SKS) Serian. Foto UKAS

SERIAN, 20 November: Program Sarawakku Sayang (SKS) semakin mendapat sambutan positif apabila masyarakat, khususnya golongan muda, mula menunjukkan pemahaman lebih baik terhadap dasar, insentif dan kemudahan yang disediakan kerajaan Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pendekatan turun padang menerusi program itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan penerangan secara langsung mengenai pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk kaedah untuk memohon serta menikmati kemudahan yang ditawarkan.

Menurutnya, perkembangan positif itu dapat dilihat sejak SKS mula diperkenalkan di Limbang, dengan penganjuran di Serian kali ini merupakan siri kesepuluh program berkenaan.

Katanya, interaksi secara bersemuka antara masyarakat dengan pegawai kerajaan menerusi kaunter perkhidmatan, sesi temu bual dan pertemuan bersama agensi berkaitan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pelbagai dasar serta program yang dilaksanakan.

“Apabila mereka sendiri datang untuk bertemu dengan pegawai-pegawai kita di kaunter, melalui temu duga dan sesi libat urus, mereka sudah mula faham apakah dasar-dasar dan program-program yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat kita.

“Golongan muda khususnya sudah mula tahu bahawa kerajaan sekarang menawarkan pelbagai insentif dan pelbagai program untuk mereka,” katanya.

DATUK Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-pelancaran SKS Serian, hari ini. Foto UKAS

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran SKS Serian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkenalkan inisiatif kerajaan kepada masyarakat perlu disertai tindakan berterusan untuk menangani permasalahan yang dihadapi rakyat, terutama berkaitan kemudahan asas.

Sehubungan itu, beliau telah meminta ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan kerajaan supaya turun padang bagi mengenal pasti sendiri isu yang membelenggu penduduk, termasuk gangguan bekalan air dan elektrik di kawasan tertentu.

Menurutnya, keberkesanan sesuatu inisiatif tidak seharusnya dinilai berdasarkan perancangan atau pelaksanaan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat melalui manfaat yang benar-benar dapat dinikmati masyarakat.

“Rakyat nak merasa, bukan rakyat nak melihat saja dan proses itu hanya satu proses.

“Tetapi perkara paling penting dalam apa juga perkhidmatan yang kita berikan kepada rakyat ialah mereka dapat merasai apa yang kita rancang dan bina,” katanya.

Oleh Adele Rissa