Polis periksa 63 kenderaan, tangkap seorang lelaki dalam operasi cegah jenayah

Facebook
WhatsApp
POLIS menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan dalam operasi cegah jenayah di Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 20 November: Polis memeriksa sebanyak 63 kenderaan dan 77 individu menerusi Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan pada 19 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi yang berlangsung dari 6.00 petang hingga 10.00 malam itu melibatkan sekatan jalan raya, rondaan pencegahan jenayah di kawasan panas serta serbuan dan tangkapan.

Beliau berkata, sebanyak 10 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi berkenaan.

Dalam tindakan berasingan, seorang lelaki tempatan ditangkap oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Irwan berkata, operasi itu bertujuan mempergiat usaha pencegahan jenayah, membanteras penyalahgunaan dadah serta meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di daerah berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa IPD Kota Samarahan akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.