KUCHING, 19 November: Sebuah kilang di Jee Hong Trading Company, Muara Tabuan Light Industries, musnah sepenuhnya dalam kebakaran petang ini yang turut melibatkan dua lori dan sebuah kereta Perodua Axia.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan tiba di lokasi empat minit kemudian.
Kebakaran membabitkan sebuah bangunan kilang dengan anggaran keluasan 50 meter kali 50 meter yang dilaporkan terbakar 100 peratus.
Komander Operasi, PBK I Nur Aini Yusuf berkata, operasi pemadaman turut mendapat bantuan anggota dari BBP Batu Lintang dan BBP Padungan.
Seramai 20 anggota terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan tiga Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), sebuah Jentera Bomba dan Penyelamat Kompak (CFRT), sebuah lori tangki air serta sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Menurut laporan JBPM Sarawak, pasukan bomba melaksanakan pemadaman secara defensif berikutan struktur bangunan yang terbakar telah runtuh, selain bagi mengelakkan api merebak ke kilang bersebelahan.
Operasi pemadaman menggunakan dua jentera, dua aliran hos sepanjang 200 kaki serta enam muncung pancutan air (nozzle), dengan bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran dan pam jentera.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Oleh Shikin Mahmud



