Harga RON97 turun 20 sen, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 15 sen – MOF

Facebook
WhatsApp
FOTO Bernama.

KUALA LUMPUR, 18 November: Harga runcit petrol RON97 menurun sebanyak 20 sen seliter manakala harga petrol RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 15 sen seliter bagi tempoh 19 hingga 25 November.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga RON97 ditetapkan pada RM4 seliter berbanding RM4.20 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.72 seliter berbanding RM3.87 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.72 seliter berbanding RM4.87.

Pada masa sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 mengikut BUDI MADANI RON95 (BUDI95) manakala RM2.10 seliter bagi diesel berdasarkan program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi RON95 sebanyak RM1.73 atau 47 peratus bagi setiap liter berbanding harga tanpa subsidi manakala harga bahan api diesel pula menyaksikan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.62 seliter atau 56 peratus daripada harga tanpa subsidi.

Menurut MOF, penurunan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau berlaku seiring dengan penyederhanaan harga minyak mentah dunia, sekali gus mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan di pasaran antarabangsa.

“Pada masa sama, jangkaan peningkatan bekalan minyak mentah global turut mempengaruhi pergerakan harga petroleum dunia. Bagaimanapun, bekalan produk petroleum bertapis masih berdepan beberapa kekangan yang boleh mempengaruhi kestabilan harga pasaran.

“Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global. Sehubungan dengan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.

Meskipun berlaku perubahan harga pasaran, Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan daripada tekanan kos sara hidup menerusi pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.

Kenyataan itu memaklumkan rakyat Malaysia yang layak boleh terus membuat pembelian RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan dan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, peruntukan hampir RM40 bilion telah disediakan untuk subsidi bahan api pada tahun hadapan.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemat bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MOF.- Bernama