LAWAS, 18 November: Penempatan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung menerusi Pusat Pentadbiran Lawas akan memudahkan urusan rakyat, selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di kawasan utara Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan perkongsian ruang pejabat antara kerajaan negeri dan Persekutuan membolehkan penyelarasan pentadbiran dilaksanakan dengan lebih mudah serta mempercepat urusan berkaitan pembangunan dan kepentingan rakyat.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan orang ramai berurusan dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di satu lokasi tanpa perlu berulang-alik ke pejabat yang berasingan.
“Kalau dahulu pejabat kerajaan berselerak di beberapa lokasi, kini kita mempunyai sebuah bangunan megah setinggi 15 tingkat yang menghimpunkan pelbagai jabatan di bawah satu bumbung. Urusan dengan Jabatan Tanah dan Survei, Pejabat Daerah mahupun hal berkaitan sekolah boleh dilakukan di bangunan yang sama.”
“Mengapa tidak kita berkongsi pejabat yang sama? Jadi tidak ada pecah-pecahlah. Ini memudahkan perkhidmatan awam dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian bangunan Pusat Pentadbiran Lawas di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, sebelum ini pejabat kerajaan di Lawas beroperasi di lokasi berasingan, namun pembangunan kompleks baharu itu membolehkan pelbagai urusan pentadbiran diselaraskan dalam persekitaran lebih selesa dan teratur.

Menurutnya, kemudahan berkenaan turut memudahkan perbincangan antara pegawai kerajaan, wakil rakyat dan agensi berkaitan bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta penyelesaian masalah yang dihadapi penduduk.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak dan seluruh perkhidmatan awam atas usaha memastikan kemudahan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat terus dipertingkatkan.
Kompleks setinggi 15 tingkat itu dibangunkan dengan kos RM173 juta dan menghimpunkan pejabat pelbagai jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Selain ruang pejabat, kompleks berkenaan turut menyediakan kemudahan dewan persidangan, bilik mesyuarat, surau dan tempat letak kenderaan bagi memenuhi keperluan kakitangan kerajaan serta orang ramai.
Pusat pentadbiran itu dijangka menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih tersusun, cekap dan mudah diakses, seiring perkembangan pembangunan Lawas.




