Jalan baharu buka peluang ekonomi, pelancongan Belawai

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berucap di Pesta Belawai 2026. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Kuala Rajang

TANJUNG MANIS, 18 November: Perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis yang kini mengambil masa kira-kira 45 minit berbanding dua setengah jam sebelum ini membuka peluang lebih besar kepada pembangunan ekonomi, perdagangan dan pelancongan di kawasan pesisir, khususnya Belawai.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, perubahan ketara tersebut membuktikan kepentingan pembangunan infrastruktur perhubungan dalam merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat luar bandar.

Katanya, pelaksanaan projek Jalan Pasi–Tanjung Manis dan Jambatan Tun Tuanku Haji Bujang bernilai RM321 juta sepanjang 17 kilometer telah meningkatkan hubungan antara Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis.

ANTARA yang hadir bagi menyaksikan perasmian Pesta Belawai 2026. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Kuala Rajang

“Dahulu, perjalanan dari Sarikei mengambil masa dua setengah jam.

“Kini, ia hanya sekitar 45 minit. Perubahan inilah yang kita namakan ‘game changer’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Belawai 2026 di Pentas Utama Pesta Belawai, Pantai Belawai, hari ini.

Tambahnya, kemudahan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah memberikan kelebihan kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan kegiatan perniagaan dan menarik kedatangan pengunjung.

“Apabila perjalanan menjadi mudah, pengunjung bertambah, peniaga bertambah dan ekonomi penduduk bergerak.

“Segala usaha ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan komited menterjemahkan perancangan strategik kepada bentuk tindakan fizikal yang membawa impak langsung kepada kesejahteraan hidup anda semua,” katanya.

Katanya, peningkatan akses perhubungan turut memberikan peluang kepada Belawai untuk memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan pesisir yang mempunyai tarikan alam semula jadi, kebudayaan dan makanan tradisional.

Sehubungan dengan itu, katanya, penganjuran Pesta Belawai 2026 selama lima hari bermula hari ini hingga 22 November dilihat sebagai platform penting untuk memperkenalkan potensi kawasan tersebut kepada pengunjung.

“Pesta Belawai pada hari ini bukan sekadar sebuah festival kebudayaan atau pesta keramaian tahunan semata-mata.

“Lebih dari itu, ia telah bertukar menjadi sebuah institusi sosial dan platform strategik yang menyatukan kita semua, memartabatkan seni warisan etnik tempatan, serta merakyatkan ekonomi komuniti di pesisir pantai ini.

“Jika kita menoleh ke belakang, perjalanan pembangunan di Daerah Tanjung Manis ini menuntut pengorbanan, perancangan yang teliti, dan usaha yang berterusan,” katanya.

DATUK Len Talif Salleh melawat ke gerai-gerai pameran dan jualan di Pesta Belawai 2026. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Kuala Rajang

Jelasnya, transformasi yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada kesungguhan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, inisiatif berterusan pihak kepimpinan akar umbi dan sokongan padu daripada rakyat sendiri yang sentiasa mendokong dasar-dasar pembangunan kerajaan.

Antara acara yang dijadualkan berlangsung sepanjang pesta ialah pertandingan futsal, bola sepak veteran, menyumpit, memanah dan Strongmen Belawai, selain persembahan layang-layang LED, perarakan tandu berhias dan Konsert Rakyat.

Dalam usaha memperkasakan kegiatan ekonomi, katanya, pembangunan Anjung Usahawan Belawai turut menjadi antara inisiatif penting bagi menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih selesa dan teratur.

“Bagi menyokong ekonomi komuniti setempat, kita telah menyalurkan peruntukan signifikan seperti projek pembangunan Anjung Usahawan Belawai yang bernilai jutaan ringgit untuk menyediakan premis perniagaan yang selesa, kondusif, dan sistematik kepada para peniaga kecil, penjaja, serta usahawan kraf tangan tempatan,” katanya lagi.

Ujarnya, pembangunan kemudahan perniagaan itu dijangka membantu produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan mendapat akses kepada pasaran lebih luas, khususnya melalui pertumbuhan sektor pelancongan.

Dalam perkembangan berkaitan, Len turut menyentuh usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk menerusi pembangunan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tanjung Manis dan penyediaan perumahan mampu milik.

DATUK Len Talif Salleh beramah mesra dengan pemilik gerai-gerai pameran dan jualan di Pesta Belawai 2026. Foto Pusat Khidmat penyandang kerusi DUN Kuala Rajang

Katanya, inisiatif tersebut penting bagi memastikan generasi muda dan keluarga tempatan mempunyai peluang mendapatkan kediaman yang lebih selesa serta dilengkapi kemudahan asas.

Beliau turut menggalakkan golongan belia supaya meneroka peluang dalam bidang keusahawanan, pelancongan digital dan industri kreatif agar manfaat pembangunan dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan masyarakat.

“Pesta ini turut menjadi pentas kepada peniaga dan usahawan tempatan untuk memperkenalkan hasil usaha mereka.

“Apabila pengunjung datang, bergerak dan berbelanja, ekonomi setempat turut bergerak.

“Inilah manfaat yang kita harapkan, iaitu pesta yang memberi kegembiraan hari ini dan rezeki yang berpanjangan,” ujarnya.

Turut hadir, Pegawai Daerah Tanjung Manis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Belawai, Ismail Kasah serta Abdul Rasid Mahsin selaku wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Oleh Earl Anek