Pejalan kaki maut dirempuh Perodua Axia di Jalan Lundu-Sematan

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki maut selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan berhampiran Kampung Sebiris, Lundu, pagi tadi.

LUNDU, 18 November: Seorang lelaki berusia 64 tahun maut selepas dirempuh sebuah Perodua Axia ketika melintas jalan di Kilometer 12, Jalan Lundu-Sematan berhampiran Kampung Sebiris, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.40 pagi ketika kereta berkenaan dalam perjalanan dari Sematan menuju ke Lundu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa, Rijaok anak Mingol, tiba-tiba melintas jalan dari sebelah kiri laluan kenderaan.

Pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sebelum melanggar mangsa.

POLIS mendapatkan maklumat daripada orang awam berhubung kejadian kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki berusia 64 tahun di Lundu.

Pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa merupakan penduduk Kampung Sebiris.

Sementara itu, pemandu kereta berkenaan tampil ke Pejabat Trafik untuk membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Oleh Connie Chieng