KUALA LUMPUR, 18 November: Pengorbanan Lans Koperal Thierry Rodger Fendy serta kepakaran dua doktor yang menjalankan pembedahan sambung tangan anggota polis itu menjadi kebanggaan negara dan teladan buat rakyat Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata Thierry sanggup menggadaikan nyawa demi menjaga keselamatan manakala Dr Allan Ravi Rajagopal, Dr Aziz Sabbir Husain dan pasukan mereka telah berjaya melakukan pembedahan menyelamatkan tangannya.
“Dengan semangat #KitaKawan, berlainan agama berlainan bangsa tetapi bantu-membantu sebagai rakyat Malaysia – saudara setanah air. Tiada kebencian, hanya kasih sayang sesama manusia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Zulkifli berkata beliau menziarahi Thierry di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas menghadiri program Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Sabah.
Beliau berkata anggota polis yang berasal dari Sibu, Sarawak itu kini sedang menerima rawatan di HKL.
Dalam lawatan itu, Zulkifli turut bertemu Dr Allan Ravi yang merupakan Ketua Unit Pembedahan Tangan dan Mikrosurgeri HKL serta Dr Aziz yang turut menganggotai pasukan pembedahan itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa penyerahan sumbangan kepada Thierry daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan sumber am serta daripada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
Zulkifli pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Thierry, kedua-dua doktor berkenaan dan pasukan pembedahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), HKL, MAIWP, YWM serta semua pihak yang membantu.
Pada 12 November lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanan Thierry berjaya dilaksanakan pasukan HKL menerusi prosedur selama lapan jam menggunakan mikroskop pembedahan.
Dalam kejadian pada 11 November, Thierry, 26, putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua parang ketika menjalankan tugas di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.
Semalam, media melaporkan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata Thierry tidak melepaskan tembakan ketika diserang kerana bimbang peluru melantun dan mencederakan orang awam.
Menurut laporan itu, anggota berkenaan turut memberikan arahan kepada orang awam agar berlindung walaupun mengalami kecederaan parah.- Bernama




