KUALA LUMPUR, 18 November: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan kajian terhadap keperluan kawal selia kandungan drama di platform penstriman digital atau Over-The-Top (OTT), termasuk aspek keberkesanan perlindungan penonton dan amalan antarabangsa.
Kementerian Komunikasi memaklumkan kajian itu dilaksanakan dalam usaha memastikan kandungan disiarkan menerusi platform berkenaan termasuk drama tempatan tidak mengandungi unsur sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga dan masyarakat.
Menurut kementerian itu, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) turut menerbitkan Garis Panduan Kandungan Terpilih Dalam Talian (OCC) Edisi Kedua pada September lepas yang menggariskan amalan terbaik berkaitan klasifikasi kandungan mengikut umur, nasihat kandungan kepada pengguna serta ciri keselamatan bagi melindungi penonton, khususnya kanak-kanak.
“Bagi kandungan drama yang disiarkan melalui platform penstriman digital atau OTT, MCMC sedang menjalankan kajian terhadap landskap dan keperluan kawal selia platform berkenaan, termasuk keberkesanan perlindungan penonton serta amalan antarabangsa,” menurut kementerian itu.
Perkara berkenaan dinyatakan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai tindakan dan garis panduan penguatkuasaan terhadap drama tempatan yang mengandungi unsur atau analogi sensitif.
Kementerian berkenaan turut memaklumkan penyiar televisyen percuma (FTA) yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) bertanggungjawab memastikan semua kandungan disiarkan termasuk drama terbitan syarikat produksi luar, mematuhi Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarat pelesenan.
Menurut kementerian itu, MCMC boleh mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sekiranya berlaku pelanggaran selain orang ramai boleh mengemukakan aduan berkaitan kandungan tidak sesuai kepada MCMC atau CMCF.
Kementerian itu turut memaklumkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MCMC, CMCF, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), syarikat penyiar, pengendali platform OTT dan pemain industri kreatif akan terus diperkukuh bagi meningkatkan pematuhan serta menggalakkan kawal selia kendiri sejak peringkat pembangunan dan penerbitan kandungan.
Sementara itu, dalam jawapan bertulis berasingan, Kementerian Komunikasi menjelaskan bahawa platform penstriman digital atau OTT ketika ini dikecualikan daripada pelesenan, namun masih tertakluk kepada undang-undang negara, termasuk peruntukan berkaitan kandungan yang menyalahi undang-undang.
Menurut kementerian itu, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melarang penerbitan serta penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau, dengan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun, manakala Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) membolehkan kandungan memudaratkan disekat atau diturunkan.
Kementerian itu menjelaskan FINAS bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pelesenan industri perfileman, namun tidak mempunyai kuasa penapisan filem kerana bidang kuasa berkenaan terletak pada Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Menurut kementerian itu, JAKIM pula berperanan memberikan khidmat nasihat dan panduan berkaitan aspek agama Islam kepada penerbit serta pemain industri tanpa mengambil alih fungsi penapisan LPF.
Kementerian itu menegaskan kawal selia kandungan akan terus dilaksanakan secara telus dan berlandaskan undang-undang mengikut bidang kuasa agensi masing-masing dengan kebebasan berkarya kekal dihormati selagi seiring tanggungjawab terhadap agama, nilai dan masyarakat.
Perkara itu dinyatakan bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai undang-undang, garis panduan dan bidang kuasa FINAS, MCMC serta JAKIM terhadap filem tempatan, luar negara dan kandungan platform penstriman digital bagi memastikan kebebasan berkarya tidak terjejas atau berlaku penapisan sewenang-wenangnya. – Bernama



