Penunggang motosikal cedera dalam kemalangan dengan Toyota Vios di Jalan Repok

Facebook
WhatsApp
MANGSA dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Foto BBP Sarikei

SARIKEI, 18 November: Seorang lelaki berusia 28 tahun cedera selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di Jalan Repok, berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di sini petang semalam.

Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 5.39 petang.

KEMALANGAN jalan raya membabitkan sebuah motosikat dan Toyota Vios di Jalan Repok. Foto BBP Sarikei

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Toyota Vios dan motosikal yang berlaku tidak jauh dari BBP Sarikei.

“Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Unjah Janggau kemudian mengarahkan anggota bomba yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) memberikan bantuan kepada penunggang motosikal yang cedera,” katanya ketika dihubungi pada malam tadi.

Katanya, anggota bomba memberikan bantuan awal dengan memasang kolar servikal pada mangsa sebagai langkah keselamatan sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas memberikan bantuan kepada mangsa dan memastikan keadaan di sekitar lokasi kejadian selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada 6.09 petang,” katanya.

Oleh Earl Anek