BAU, 17 November: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) mengadakan Program Ceramah Pencegahan Jenayah Komersial di GIATMARA Mas Gading, Tondong, yang melibatkan seramai 11 peserta terdiri daripada guru, kakitangan dan peserta kursus.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, ceramah yang disampaikan oleh Sjn Shamsul Ezam Sahat itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai trend terkini jenayah komersial, termasuk penipuan panggilan telefon, Love Scam, penipuan e-dagang, kegiatan keldai akaun dan penipuan pembayaran menerusi QRPay.
Peserta turut diberikan penerangan mengenai langkah pencegahan serta penggunaan pelbagai kemudahan disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), antaranya talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997, aplikasi Whoscall dan Portal Semak Mule.
Menurut beliau, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah komersial dan penipuan dalam talian.
Mohd Haide turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan dan berhati-hati ketika melakukan sebarang urusan dalam talian.
Sehubungan itu, Polis Daerah Bau menggesa masyarakat supaya terus berwaspada dan mengamalkan prinsip “Cegah sebelum terkena, jangan jadi mangsa jenayah komersial.”
Oleh Connie Chieng




