Loji baharu RM160.68 juta perkukuh kapasiti bekalan air Lawas

Facebook
WhatsApp
AWANG Tengah dan Julaihi pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Pengalih-Lakutan di Lawas.

LAWAS, 17 November: Kapasiti bekalan air di Lawas bakal dipertingkatkan menerusi pembinaan Loji Rawatan Air Pengalih-Lakutan bernilai RM160.68 juta yang berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 60 juta liter sehari (JLH).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, loji baharu itu akan memulakan operasi dengan kapasiti 20 JLH sebelum dinaik taraf kepada 60 JLH bagi memenuhi peningkatan permintaan bekalan air pada masa hadapan.

Menurutnya, projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Lawas Damit, sebahagian kawasan Merapok serta kawasan tanah tinggi di Ba’kelalan menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat dan kestabilan bekalan.

“Jadi, diharapkan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan siap menjelang Disember 2028. Projek ini akan melengkapkan perancangan menyeluruh kerajaan bagi memastikan sistem bekalan air terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Pengalih-Lakutan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Haji Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri turut meluluskan pelaksanaan beberapa projek bekalan air di Lawas dan Trusan, termasuk pembinaan loji baharu serta naik taraf loji sedia ada.

Menurutnya, projek pemasangan paip baharu di kedua-dua kawasan berkenaan kini berada pada peringkat reka bentuk dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, pelaksanaan projek-projek itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur bekalan air bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan yang lebih baik.

Pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan dijangka saling melengkapi dalam memperkukuh sistem bekalan air di Lawas, sekali gus membantu menangani risiko gangguan bekalan air pada masa hadapan.

Oleh Adeng Edrus