KUCHING, 17 November: Seorang lelaki tempatan berusia 60-an ditemukan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Bako, berhampiran Pasar Raya Demak, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 4.37 pagi, 17 November, berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Gita segera bergegas ke lokasi dan mendapati lelaki berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HUS bagi tujuan bedah siasat.
Kes berkenaan disiasat sebagai laporan mati mengejut.
Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu bagi menghormati sensitiviti keluarga mendiang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Gita, ASP Syed Zainal Abidin Syed Ali menerusi talian 019-5131156, Balai Polis Gita di talian 082-254417 atau tampil ke balai polis berhampiran.





