JPLS teroka teknologi AI, perkukuh kecekapan industri akuakultur Sarawak

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Pemindahan Teknologi Sistem Pemeriksaan Visual AI untuk Amalan Akuakultur anjuran Cawangan Akuakultur JPLS dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne Sarawak. Foto Jabatan Perikanan Laut

PETRA JAYA, 17 November: Jabatan Perikanan Laut (JPLS) terus mempergiat usaha memperkasakan industri akuakultur negeri menerusi penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan pemantauan dan pengurusan sistem ternakan ikan.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Teknologi Sistem Pemeriksaan Visual Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Amalan Akuakultur anjuran Cawangan Akuakultur JPLS dengan kerjasama Universiti Teknologi Swinburne, Sarawak.

Program yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Perikanan Laut Wilayah I, Santubong itu bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai penggunaan teknologi AI dalam menyokong amalan akuakultur yang lebih moden, cekap dan berasaskan digital.

Menurut kenyataan JPLS, program berkenaan melibatkan penyertaan kakitangan jabatan serta pelajar yang sedang menjalani latihan industri, sekali gus memberi pendedahan secara langsung kepada perkembangan teknologi AI dalam sektor perikanan.

Pengisian program merangkumi pengenalan konsep, kaedah pembangunan, pelaksanaan serta aplikasi sistem pemeriksaan visual berasaskan AI dalam persekitaran akuakultur.

Antara teknologi yang diperkenalkan ialah platform Roboflow yang digunakan untuk proses anotasi dan pelabelan imej ikan bagi membangunkan set data, manakala model YOLO (You Only Look Once) digunakan untuk melatih sistem AI mengenal pasti dan mengesan ikan berdasarkan imej yang disediakan.

Proses latihan model pula dilaksanakan menggunakan platform Google Colab sebelum teknologi berkenaan diaplikasikan pada peranti seperti NVIDIA Jetson atau Raspberry Pi 5.

Peserta turut mengikuti latihan praktikal bagi mendapatkan pengalaman secara langsung dalam penyediaan imej, latihan model pengesanan serta pelaksanaan sistem yang membolehkan ikan dikesan secara masa nyata.

Program itu turut disusuli aktiviti berkumpulan dan sesi penilaian bagi mengukuhkan pemahaman peserta mengenai teknologi berkenaan serta potensi penggunaannya dalam industri akuakultur.

Sesi perkongsian ilmu dikendalikan oleh tiga penceramah daripada Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, iaitu Ir. Chai Pui Ching, Ir. Profesor Madya Dr. Hudjyaya Siswoyo Jo dan Dr. Evon Lim Wan Ting.

Penggunaan teknologi AI dilihat berpotensi membantu pemantauan ikan dalam sistem ternakan, mengesan kehadiran ikan serta mengumpul dan menganalisis data secara lebih sistematik.

Selain mengurangkan kebergantungan kepada pemerhatian manual, teknologi itu juga berupaya menyokong aktiviti penyelidikan dan meningkatkan kecekapan pengurusan operasi akuakultur.

JPLS berharap penganjuran program berkenaan dapat memperluas penerokaan inovasi digital, memperkukuh pemindahan ilmu serta menggalakkan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi demi menyokong pembangunan industri akuakultur Sarawak yang lebih moden, cekap dan berdaya saing.

Oleh Adi Safarman