Seksyen 6A perkukuh pengiktirafan tanah adat Pemakai Menoa dan Pulau Galau

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian Projek di kawasan DUN Tebedu, bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Temong Mawang. Foto: Douglas Uggah Embas Official

TEBEDU, 17 November: Hak tanah adat masyarakat pribumi Sarawak, khususnya kawasan Pemakai Menoa dan Pulau Galau, terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Seksyen 6A Kanun Tanah Sarawak yang menyediakan mekanisme pengiktirafan melalui pemberian hak milik tanah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pindaan undang-undang berkenaan merupakan langkah kerajaan bagi memastikan hak masyarakat pribumi terhadap tanah adat yang diwarisi turun-temurun terus dipelihara dan dilindungi.

Menurutnya, pelaksanaan Seksyen 6A membolehkan kawasan Pemakai Menoa dan Pulau Galau diiktiraf melalui mekanisme pemberian hak milik tanah, sekali gus memberikan kepastian dari sudut perundangan kepada masyarakat terlibat.

“Ini bukan sekadar janji atau retorik politik. Kerajaan telah mengambil langkah melalui pindaan Kanun Tanah Sarawak dan pelaksanaan Seksyen 6A bagi memastikan tanah Pemakai Menoa dan Pulau Galau dapat diiktiraf serta dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perasmian Projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Temong Mawang, semalam.

Sebagai bukti pelaksanaan peruntukan itu, Uggah memberikan contoh pengeluaran surat hak milik tanah Hak Milik Komunal Anak Negeri (Native Communal Title – NCT) di bawah Seksyen 6A kepada Temenggong Boniface Bada bagi kawasan Sungai Senga, Suai Niah, melibatkan keluasan 304 hektar.

Beliau menegaskan bahawa tanah adat bukan sekadar aset, sebaliknya merupakan harta pusaka yang mempunyai nilai sejarah dan warisan penting kepada masyarakat pribumi.

“Tanah adat merupakan harta pusaka masyarakat pribumi. Kita mahu hak yang diwarisi sejak turun-temurun ini terus dipertahankan melalui peruntukan undang-undang yang jelas,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 1,248,659 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh Sarawak telah selesai diukur menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baru, manakala 979,434 hektar telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Di bawah Seksyen 18 pula, sebanyak 135,332 hektar melibatkan 112,717 lot telah selesai diukur, manakala 60,727 hektar melibatkan 40,796 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah.

Bagi DUN Tebedu, sebanyak 18,109.5 hektar tanah telah diluluskan di bawah Seksyen 6, dengan 13,659.19 hektar daripadanya selesai diukur dan diwartakan.

Sementara itu, di bawah Seksyen 18, sebanyak 6,205.25 hektar melibatkan 6,990 lot telah selesai diukur, manakala 1,250.51 hektar melibatkan 2,017 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah.

Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan program pengukuran tanah NCR yang membolehkan lebih banyak tanah adat diukur, diwartakan dan diberikan pengiktirafan demi kepentingan masyarakat pribumi.

Oleh Adi Safarman