Cadangan Jambatan Kemena Sutera-Taman Jason wajar dinilai semula – Johnny Pang

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang mendengar pandangan penduduk Taman Kemena Sutera berhubung cadangan pembinaan jambatan ke Taman Jason.

BINTULU, 17 November: Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Taman Kemena Sutera dengan Taman Jason wajar dinilai semula bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di kawasan berkenaan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, cadangan projek itu sentiasa dalam perhatiannya meskipun pelaksanaannya ditangguhkan sebelum ini.

“Saya telah melakukan beberapa usaha penyelarasan dan susulan dengan jabatan berkaitan sejak beberapa tahun lalu bagi mencari penyelesaian terhadap isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri sesi dialog bersama penduduk Taman Kemena Sutera baru-baru ini yang turut disertai Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, Kong Kai Seng.

Menurutnya, antara faktor yang menyebabkan projek itu tidak dapat diteruskan ialah bantahan sebahagian penduduk yang bimbang pembinaan jambatan berkenaan akan menjejaskan kerja-kerja pendalaman dan pelebaran dasar sungai pada masa hadapan, sekali gus memberi kesan kepada sistem saliran dan tebatan banjir.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik inisiatif penduduk yang tampil menyuarakan pandangan serta hasrat agar cadangan projek itu dipertimbangkan semula.

“Saya amat gembira melihat penduduk sanggup berkumpul dan bersuara demi kepentingan komuniti sendiri.

“Ketika projek ini ditangguhkan dahulu, tidak ramai penduduk tampil menyuarakan pandangan secara aktif.

JOHNNY Pang ketika menghadiri sesi dialog bersama penduduk Taman Kemena Sutera bagi membincangkan cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan kawasan itu dengan Taman Jason.

“Kini, apabila penduduk sendiri mula mengambil inisiatif untuk memperjuangkan penambahbaikan, ini merupakan satu permulaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan kawasan perumahan di sekitar Taman Kemena Sutera, termasuk pembangunan baharu, dijangka meningkatkan jumlah penduduk dan kenderaan, sedangkan beberapa taman perumahan masih bergantung pada satu laluan keluar masuk utama.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas, terutama pada waktu puncak apabila penduduk berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa menilai semula kebolehlaksanaan projek jambatan berkenaan atau mempertimbangkan pembinaan laluan keluar masuk kedua sebagai alternatif bagi meningkatkan hubungan jalan raya di kawasan itu.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan penduduk menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai platform rasmi untuk menyelaras keperluan serta pandangan komuniti.

Katanya, melalui platform itu, pandangan semua pihak, termasuk penduduk yang menyokong atau membantah cadangan berkenaan, dapat dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Beliau turut mencadangkan agar senarai sokongan dan permohonan rasmi penduduk diserahkan kepada pasukan khidmatnya serta Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu untuk tindakan lanjut bersama jabatan dan agensi berkaitan.

Johnny Pang menegaskan kesediaannya untuk membantu menyelaras usaha berkenaan bagi memastikan penyelesaian yang sesuai dapat dikenal pasti, sama ada menerusi pembinaan jambatan atau penyediaan laluan alternatif demi kepentingan penduduk dalam jangka panjang.

Oleh Carolyne Utih