Twenty Four FC juara Piala Cahya Mata 2026, bawa pulang RM100,000

Facebook
WhatsApp
PASUKAN Twenty Four FC dari Pahang meraikan kejayaan selepas muncul juara Piala Cahya Mata 2026 dengan menewaskan Jenderata FC 2-1 pada perlawanan akhir di Kuching, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

KUCHING, 17 November: Twenty Four FC dari Pahang muncul juara Piala Cahya Mata 2026 selepas menewaskan Jenderata FC dari Perak 2-1 pada perlawanan akhir, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Jenderata FC yang menduduki tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM70,000, manakala kedua-dua pasukan turut memperoleh RM20,000 masing-masing selepas muncul juara di peringkat negeri sebelum mara ke perlawanan akhir menerusi saingan peringkat kumpulan dan separuh akhir.

Kapten Twenty Four FC, Chun Keong Low berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerja keras seluruh pasukan sejak pertandingan peringkat negeri sehingga ke perlawanan akhir.

“Dari pertandingan peringkat negeri hingga ke perlawanan akhir, kami bekerja keras untuk memperoleh setiap kemenangan. Bergelar juara kebangsaan merupakan sesuatu yang akan sentiasa kami kenang dan kami tidak sabar untuk membawa pulang trofi ini bagi meraikannya bersama komuniti kami.

“Kami juga berterima kasih kepada jurulatih, keluarga dan penyokong yang sentiasa bersama kami sepanjang perjalanan ini, selain Cahya Mata kerana memberi peluang kepada pemain amatur seperti kami untuk bersaing dengan pasukan dari seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejohanan anjuran Cahya Mata itu menghimpunkan 256 pasukan amatur dengan penyertaan kira-kira 6,400 pemain dan pegawai dari lapan negeri, selain menawarkan jumlah hadiah wang tunai melebihi RM500,000.

Lapan juara negeri bersaing pada peringkat kumpulan di Negeri Sembilan, sebelum empat pasukan terbaik mara ke Kuching untuk merebut gelaran juara kebangsaan menerusi peringkat separuh akhir dan akhir.

Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib berkata, penganjuran kejohanan itu membuktikan keupayaan bola sepak menyatukan masyarakat melalui penglibatan pemain, jurulatih, keluarga dan penyokong dari seluruh negara.

“Melihat semua pihak bersatu, termasuk mereka yang bekerja di belakang tabir, pemain, jurulatih, keluarga dan penyokong dari seluruh negara, merupakan perkara paling membanggakan sepanjang penganjuran kejohanan ini.

“Ia membuktikan bahawa bola sepak mampu menyatukan komuniti. Kami berbangga kerana Piala Cahya Mata menyediakan platform kepada masyarakat untuk berkongsi minat terhadap sukan ini,” ujarnya.

Beliau berkata, sokongan terhadap bola sepak amatur bukan sekadar pelaburan dalam bidang sukan, malah mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan komuniti.

Menurutnya, semangat ‘Teguh Bersama’ yang menjadi pegangan Cahya Mata turut diterapkan menerusi kejohanan itu dengan menekankan nilai kerjasama berpasukan, disiplin dan kepercayaan.

Piala Cahya Mata mula diperkenalkan sebagai Mambong Community Cup di Sarawak pada 2024 sebelum berkembang kepada empat kejohanan komuniti di sekitar Kuching pada 2025.

Pada 2026, kejohanan itu mencapai satu lagi pencapaian apabila diperluaskan ke peringkat kebangsaan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pemain amatur untuk bersaing di luar komuniti masing-masing.

Selain memberi tumpuan kepada penyertaan pemain amatur, kejohanan itu turut mempromosikan semangat kesukanan dan persekitaran sukan bebas bahan terlarang menerusi pelaksanaan ujian saringan dadah secara rawak dengan kerjasama agensi berkaitan.