PUTRAJAYA, 16 November: Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal kedua berturut-turut, iaitu bagi tempoh 2027 hingga 2030, susulan pemilihan semula negara pada Persidangan Plenipotensi ITU 2026 (PP-26) di Doha, Qatar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan semula itu, mencerminkan keyakinan berterusan negara anggota ITU terhadap sumbangan dan peranan Malaysia dalam pembangunan digital pada peringkat antarabangsa.
“Sebagai satu daripada 48 negara yang dipilih menganggotai Majlis ITU, Malaysia akan terus memainkan peranan dalam membentuk hala tuju strategik dan keputusan utama, agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang telekomunikasi dan teknologi digital.

“Kementerian Komunikasi dan MCMC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Negara-Negara Anggota ITU atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan pemilihan semula berkenaan bukan sahaja pengiktirafan terhadap sumbangan negara, malah membuka peluang untuk Malaysia terus memainkan peranan dalam membentuk masa hadapan digital yang lebih terhubung, inklusif dan selamat untuk semua.
Menurut kenyataan MCMC itu, sepanjang penggal 2023 hingga 2026, Malaysia menyumbang kepada usaha merapatkan jurang digital menerusi Gabungan Digital Partner2Connect ITU, termasuk menyokong komuniti kurang mendapat perkhidmatan dan negara membangun melalui pemberian biasiswa, latihan khusus serta perkongsian pengetahuan.
Pada peringkat serantau, Malaysia menerusi Asia-Pacific Telecommunity (APT) turut memperkukuh kerjasama dan memajukan pendirian dasar bersama berkaitan pengurusan spektrum, piawaian teknikal serta peningkatan keberkesanan institusi ITU.
“Sumbangan Malaysia turut mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi kejayaan meraih Anugerah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) selama dua tahun berturut-turut, masing-masing pada 2025 menerusi NADI Digital Inclusive Project dan pada 2026 menerusi ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut menjadi Rakan Platinum WSIS bagi kedua-dua tahun berkenaan.
Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada rangkaian Pusat Transformasi Digital (DTC) ITU pada April 2026, sekali gus mengiktiraf pendekatan Malaysia berteraskan komuniti dalam memperluas akses kepada latihan kemahiran digital, khususnya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Mengangkat visi Inklusiviti untuk Masa Depan yang Saksama, Malaysia akan terus memperjuangkan pembangunan masyarakat digital yang terhubung, inklusif dan selamat menerusi inisiatif nasional seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), NADI dan Kempen Internet Selamat (KIS),” menurut kenyataan itu.
Bagi penggal baharu, MCMC memaklumkan Malaysia akan memberi tumpuan kepada pendekatan lebih menyeluruh dalam merapatkan jurang digital, melangkaui aspek kesalinghubungan Internet kepada peluasan akses dan pembangunan kemahiran digital, bagi memastikan negara membangun turut menikmati manfaat perkembangan teknologi baharu.
“Malaysia juga akan memperjuangkan agenda keselamatan dalam talian, kepercayaan digital dan daya tahan keselamatan siber, termasuk memanfaatkan teknologi baharu serta penyelesaian keselamatan tahan kuantum, bagi memperkukuh perlindungan terhadap ancaman siber dan infrastruktur digital kritikal,” menurut kenyataan MCMC. – Bernama



