KUALA LUMPUR, 17 November: Kadar cukai perkhidmatan bagi pusat jagaan warga emas berdaftar akan dikurangkan daripada lapan kepada enam peratus mulai 1 Januari 2027, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan turut memberikan pengecualian penuh cukai perkhidmatan bagi yuran penjagaan sehingga RM96,000 setahun, tertakluk kepada skop dan syarat yang ditetapkan bagi meringankan beban kewangan keluarga terbabit.
“Melalui pengecualian cukai ini, keluarga yang membayar yuran penjagaan sehingga RM8,000 sebulan tidak perlu menanggung cukai perkhidmatan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos penjagaan, malah berpotensi meningkatkan kemampuan keluarga mendapatkan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan ibu bapa mereka,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai perkembangan kajian semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pusat jagaan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain bentuk sokongan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang tidak berasaskan keuntungan.
Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi mengemukakan syor penambahbaikan SST ke atas pusat jagaan berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Bagi menyokong operasi PSK yang mengendalikan pusat jagaan warga emas dan OKU, beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kewangan merangkumi geran pentadbiran, geran rangsum serta geran pembaikan premis.
Selain bantuan kewangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menawarkan khidmat nasihat pengurusan, panduan pematuhan piawaian penjagaan dan keselamatan serta pemantauan operasi secara berterusan.
Mengenai kebajikan petugas Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Nancy memaklumkan bahawa kadar elaun sagu hati penyelia telah dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, manakala kadar bagi petugas meningkat daripada RM800 kepada RM1,200 sejak Januari 2021.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM140 juta bagi pelaksanaan program PDK pada 2025, yang beroperasi lima hari seminggu, merangkumi empat hari aktiviti di pusat dan satu hari sesi lawatan ke rumah.
Katanya, kadar sagu hati yang diterima petugas dan penyelia PDK ketika ini masih melebihi kadar gaji minimum RM8.72 sejam berdasarkan tempoh operasi pusat berkenaan.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai pelan jangka panjang untuk meningkatkan kapasiti pusat jagaan warga emas, Nancy berkata kementerian menyasarkan untuk melatih 2,000 penjaga tahun ini sebelum meningkatkan jumlah itu kepada 50,000 orang menjelang 2030.
Beliau berkata sasaran itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi penjagaan menerusi peningkatan kemahiran dan kompetensi petugas, selain membuka peluang kepada orang awam untuk menyertai program latihan penjagaan. – Bernama



