‘I’m Not Okay, Cikgu!’, angkat isu kesihatan mental generasi muda

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 17 November:  “Saya okey”. Ungkapan ringkas yang sering menjadi jawapan apabila ditanya tentang keadaan diri, namun di sebalik dua perkataan itu mungkin tersimpan tekanan, keresahan dan pergolakan emosi yang tidak terluah terutama dalam kalangan generasi muda.

Lebih-lebih lagi apabila menyentuh perihal peribadi, hubungan kekeluargaan atau perkara yang mengganggu ketenangan jiwa, bukan semua anak muda mampu meluahkan apa yang terbuku di hati sehingga ada yang memilih untuk memendam perasaan kerana tidak tahu dengan siapa harus dikongsikan. 

Realiti inilah yang cuba diketengahkan menerusi drama mini bersiri “I’m Not Okay, Cikgu!”, sebuah naskhah yang mengangkat isu kesihatan mental dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan penceritaan ringkas dan mudah difahami, sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan memahami serta menjaga kesejahteraan emosi.

Dengan sokongan Yayasan Hasanah, karya terbitan Folklore Studio itu bukan sekadar mahu membawa penonton menyelami pergolakan emosi golongan muda, malah mengajak masyarakat melihat melangkaui apa yang dizahirkan seseorang serta memahami betapa pentingnya sokongan awal kepada mereka yang berdepan tekanan emosi.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki berkata pendekatan drama mini dipilih bagi memastikan mesej berkaitan kesihatan mental dapat disampaikan secara lebih mudah, dekat dan relevan dengan golongan muda.

“Pendekatan itu dipilih bagi memastikan isu kesihatan mental yang dianggap berat dapat disampaikan dengan lebih berkesan khususnya kepada golongan muda yang menjadi sasaran utama siri berkenaan. Antara perkara yang kita tekankan ialah bantuan psikologi awal.

“Contohnya, apabila seseorang berasa terlalu tertekan atau mengalami serangan panik, (antara diberi pendedahan) teknik pernafasan yang boleh membantu mereka menguruskan keadaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas tayangan perdana siri mini itu di sini, baru-baru ini.

Menurut Siti Kamariah, proses menghasilkan siri berkenaan mengambil masa lebih setahun, merangkumi penulisan skrip, penyelidikan serta perbincangan dengan pakar bagi memastikan mesej dan kaedah intervensi yang diketengahkan bersesuaian dengan realiti isu kesihatan mental.

Beliau berkata pihaknya turut merujuk data dan hasil penyelidikan berkaitan kesihatan mental, selain mendapatkan pandangan panel penasihat bagi memastikan kandungan siri itu berasaskan bukti serta mempunyai nilai praktikal untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Bagi pelakon utama Mira Filzah, peluang membintangi naskhah berkenaan bukan sekadar pengalaman baharu dalam kerjaya lakonannya, malah membuka ruang untuk memahami dengan lebih mendalam cabaran emosi yang dihadapi generasi muda hari ini.

“Bila saya nampak isu mengenai kesihatan mental, saya setuju. Saya rasa topik ini sangat menarik, terutamanya saya sebagai seorang ibu yang ada anak kecil, saya nak cuba fahami apa masalah budak-budak zaman sekarang dan apa isu kesihatan mental mereka.

“Selepas menyertai projek ini, saya belajar tentang perkara seperti people pleaser. Terutama dengan keadaan media sosial sekarang, semakin ramai yang berdepan isu sebegitu,” katanya.

Menggalas watak guru bernama Raisa, pelakon popular dan usahawan ini berkata isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar merupakan perkara serius yang perlu diberi perhatian bahkan turut mengakui berasa bimbang dengan cabaran dihadapi anaknya apabila mula bersekolah kelak. 

“Saya pandang serius isu kesihatan mental sebab kita tahu, benda ni satu isu yang sangat berat, terutamanya budak-budak sekarang. Sebagai ibu, saya pun turut tertanya-tanya mengenai persekitaran dan perkara yang mungkin menjadi kebimbangan anak-anak dalam kehidupan mereka di sekolah nanti,” katanya.

Menurutnya, drama itu merupakan pengalaman pertamanya membintangi karya dalam format drama vertikal dengan proses penggambaran diselesaikan dalam tempoh lima hari.

Siri mini “I’m Not Okay, Cikgu!” akan mula ditayangkan secara dalam talian pada 16 November menerusi platform media sosial Folklore Studio termasuk Instagram, TikTok dan YouTube.- Bernama