RM50,000 naik taraf taman permainan IPD Meradong tahun depan

Facebook
WhatsApp
PENYANDANG kerusi DUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berucap di Majlis Malam Mesra IPD Meradong. Foto Facebook Datuk Ding Kuong Hiing

BINTANGOR, 17 November: Taman permainan kanak-kanak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong bakal dinaik taraf menerusi kelulusan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 berjumlah RM50,000 bagi menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih baik kepada keluarga warga polis.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penambahbaikan kemudahan tersebut bertujuan meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan keluarga anggota polis, khususnya kanak-kanak yang menggunakan kawasan rekreasi tersebut.

Katanya, perhatian terhadap kemudahan keluarga warga polis merupakan antara aspek penting dalam menghargai pengorbanan anggota polis yang sentiasa melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

“Peruntukan RTP 2027 berjumlah RM50,000 telah diluluskan bagi kerja-kerja menaik taraf Taman Permainan Kanak-Kanak IPD Meradong.

“Peruntukan tersebut diharap dapat menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih baik dan selesa, khususnya untuk kegunaan anak-anak warga IPD Meradong serta keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Mesra IPD Meradong di IPD Meradong, baru-baru ini.

Ding turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering serta seluruh warga IPD Meradong atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.

Tambahnya, tanggungjawab anggota polis bukan sekadar melaksanakan tugas penguatkuasaan, malah turut merangkumi usaha mengekalkan ketenteraman awam dan mewujudkan persekitaran yang selamat kepada penduduk.

“Tugas anggota polis bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan, menjaga keselamatan, mengekalkan ketenteraman awam serta memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Ding menekankan kepentingan kerjasama erat antara pasukan polis dan masyarakat bagi memastikan usaha memelihara keselamatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, tanggungjawab menjaga keamanan tidak seharusnya diletakkan kepada pihak polis semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan penglibatan semua lapisan masyarakat.

Ding berharap kerjasama antara pihak polis dan masyarakat dapat diteruskan demi memastikan Daerah Meradong kekal aman, harmoni dan selamat untuk semua penduduk.

Turut hadir KPD Meradong, DSP Tansli Mering; Pegawai Daerah Meradong, Wee Teck Min; Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal; Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Nasaruddin Ibrahim serta Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing.

Oleh Earl Anek