Robert Pattinson diumum sebagai James Bond baharu

Facebook
WhatsApp
EJEN 007 BAHARU… Robert Pattinson, 40, dipilih untuk membawakan watak perisik terkenal James Bond dalam filem terbaharu terbitan Amazon MGM Studios. Foto Fail AFP

LONDON, 17 November: Selepas berbulan-bulan spekulasi, pelakon Britain, Robert Pattinson diumumkan sebagai James Bond baharu, sekali gus mengambil alih watak perisik fiksyen paling terkenal di dunia itu.

“Amazon MGM Studios mengumumkan bahawa Robert Pattinson akan membawakan watak ikonik James Bond,” menurut kenyataan studio berkenaan.

Pattinson, 40, bakal menggantikan Daniel Craig sebagai ejen perisikan MI6 yang terkenal dengan penampilan bergaya dan penuh karisma, sekali gus membuka lembaran baharu bagi antara watak paling masyhur dalam sejarah perfileman.

Pemilihan pelakon filem The Batman itu turut mendapat sambutan segera daripada keluarga diraja Britain apabila akaun media sosial rasmi institusi berkenaan berkongsi pengumuman tersebut dengan mesej: “Selamat datang ke Perkhidmatan Rahsia Baginda, Mr Bond.”

Filem terbaharu itu bakal menjadi filem pertama francais 007 sejak penerbit lama, Barbara Broccoli dan Michael Wilson berundur daripada peranan mereka, sekali gus membolehkan Amazon mengambil alih kawalan kreatif francais berkenaan selepas memperoleh syarikat induknya, MGM.

“Diberikan kepercayaan untuk membawakan watak 007 merupakan penghormatan terbesar sepanjang hidup saya,” kata Pattinson dalam satu kenyataan sambil menyifatkan peluang itu sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi bahawa Amazon mungkin melakukan perubahan besar dengan memilih pelakon kulit hitam atau wanita untuk membawakan watak ikonik ciptaan penulis Ian Fleming itu.

Setakat ini, hanya enam pelakon pernah membawakan watak Bond, termasuk Sean Connery, Roger Moore dan Pierce Brosnan, sejak watak perisik tersebut mula diperkenalkan di layar perak pada 1960-an.

Pattinson berjaya mengatasi beberapa nama yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon ejen 007, termasuk pelakon Britain, Callum Turner, Josh O’Connor dan Jack Lowden.

Pemilihan dianggap langkah selamat

Amazon MGM sebelum ini mengumumkan pengarah Kanada yang pernah dicalonkan untuk Anugerah Oscar, Denis Villeneuve, akan mengarahkan filem Bond seterusnya.

Villeneuve terkenal menerusi kejayaan filem pecah panggung seperti siri Dune, manakala skrip filem Bond baharu itu akan ditulis oleh pencipta siri Peaky Blinders, Steven Knight.

Majalah hiburan Variety menyifatkan pemilihan Pattinson sebagai keputusan yang mudah difahami berdasarkan kedudukannya dalam industri perfileman ketika ini.

“Tidak sukar untuk memahami mengapa Pattinson menjadi pilihan jelas dari sudut pandang Amazon MGM.

“Beliau hampir tidak dapat dinafikan sebagai bintang filem paling mendapat permintaan pada 2026, dengan rekod kutipan pecah panggung yang membuktikannya,” menurut majalah itu.

Pengasas laman data industri perfileman dan pemantauan kutipan tiket The Numbers, Bruce Nash berkata, Pattinson memiliki kemampuan lakonan serta kemahiran aksi yang diperlukan untuk membawakan watak berkenaan.

Menurutnya, Amazon mengambil pendekatan yang dianggap selamat dengan memilih pelakon tersebut.

“Pattinson memenuhi semua kriteria bagi sebuah studio yang mahu memulakan semula francais Bond dengan lancar,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, Knight pada Mei lalu berkata, Amazon memberikannya kebebasan kreatif untuk meneroka watak perisik legenda berkenaan.

“Bond sentiasa mampu bertahan. Orang ramai boleh melakukan kesilapan atau menghasilkan pelbagai variasi, namun watak itu tetap kekal relevan,” katanya kepada majalah Screen ketika Festival Filem Cannes.

Presiden bersama kelab peminat James Bond yang berpangkalan di Los Angeles, To Live And Let Die in L.A., Neil McNally turut menyambut baik pemilihan Pattinson.

Beliau menyifatkan Pattinson sebagai pelakon yang mempunyai kemampuan menyeluruh dan tidak sabar untuk menyaksikan pendekatannya terhadap watak ciptaan Ian Fleming itu.

“Ini merupakan masa yang sangat mengujakan buat peminat Bond,” katanya.

Daripada Twilight kepada ejen 007

Pattinson mula mendapat perhatian menerusi filem Harry Potter and the Goblet of Fire (2005) apabila membawakan watak Cedric Diggory, seorang peserta kejohanan yang mewakili Hogwarts.

Bagaimanapun, namanya melonjak ke persada antarabangsa selepas membawakan watak Edward Cullen dalam siri filem romantik pontianak Twilight.

Selepas itu, beliau mula meneroka pelbagai watak yang lebih mencabar dalam filem berunsur gelap dan psikologi.

Terbaharu, lakonannya sebagai pengacara rancangan realiti televisyen Amerika Syarikat dalam filem thriller psikologi Primetime yang baru ditayangkan mula mendapat perhatian sebagai antara calon berpotensi bagi Anugerah Oscar.

Beliau turut muncul dalam filem epik arahan Christopher Nolan, The Odyssey, tahun ini dengan membawakan watak Antinous, seorang lelaki yang cuba memikat Penelope melalui pelbagai muslihat.

Di London, seorang penari, Lucila Alvez, 51, menyatakan keyakinannya bahawa Pattinson mampu menggalas watak James Bond.

“Saya rasa beliau boleh melakukannya. Ya, beliau kacak dan mempunyai tubuh yang atletik. Saya fikir beliau mampu membawakan watak itu,” katanya kepada AFP.

Amazon membeli studio Hollywood terkenal, MGM, pada 2022, namun hanya pada awal 2025 syarikat itu mencapai persetujuan dengan penerbit Bond, Wilson dan Broccoli, untuk memperoleh kawalan kreatif sepenuhnya terhadap francais tersebut.

Sebelum itu, francais James Bond dikawal ketat oleh keluarga Broccoli sejak penerbitan filem Dr. No pada 1962, yang menampilkan Connery sebagai Bond buat kali pertama.

Keluarga berkenaan sentiasa menekankan kepentingan mengekalkan identiti serta integriti watak dan jenama James Bond.

Bagaimanapun, seorang pemandu teksi berusia 59 tahun yang hanya dikenali sebagai Jimmy berkata, beliau tidak mengenali Pattinson dan terpaksa mencari maklumat mengenai pelakon itu melalui Internet.

“Saya semakin kurang berminat dengan James Bond sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya sudah menonton filem itu selama 50 tahun dan setiap kali, ia menjadi semakin tidak realistik, terutama dari segi aksi lagak ngeri dan sebagainya,” katanya.– AFP