AADK Serian jalin kerjasama erat dengan Pejabat Residen tangani isu dadah

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN tersebut diketuai Ketua Daerah AADK Serian, Lalang Bugis, yang mengadakan pertemuan rasmi bersama Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, di Pejabat Residen Bahagian Serian. Foto AADK Daerah Serian

SERIAN, 16 November: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Serian terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Pejabat Residen Bahagian Serian menerusi kunjungan hormat bagi membincangkan usaha mempergiat langkah pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Kunjungan itu diketuai Ketua Daerah AADK Serian, Lalang Bugis, yang mengadakan pertemuan rasmi dengan Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, di Pejabat Residen Bahagian Serian.

Delegasi AADK Serian turut disertai Ketua Unit Pencegahan, Helmi Acher; Ketua Unit Rawatan dan Pemulihan, Grey Songes; serta Ketua Unit Penguatkuasaan, Thommyson Jeveni.

Pertemuan berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua agensi, selain membuka ruang perbincangan mengenai pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.

Kerjasama itu turut memberi penekanan kepada pelaksanaan program kesedaran dan pencegahan, di samping memperkukuh perkhidmatan rawatan serta pemulihan bagi individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pada masa sama, aspek penguatkuasaan akan terus diberi perhatian menerusi pendekatan bersepadu bagi memastikan tindakan membanteras kegiatan berkaitan dadah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di Bahagian Serian.

AADK Daerah Serian berharap kunjungan hormat itu dapat memperkukuh hubungan kerjasama yang lebih erat dan berterusan antara kedua-dua pihak demi membentuk komuniti yang sihat, selamat serta bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.

Oleh Adi Safarman