SIBU, 16 November: Pembinaan 16 unit kuarters kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sibu bernilai RM8.86 juta dijangka menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada petugas penyiaran, khususnya mereka yang bertugas jauh dari keluarga dan kampung halaman.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, projek berkenaan kini menunjukkan perkembangan yang memuaskan selepas berdepan cabaran teknikal apabila kerja-kerja cerucuk memerlukan kedalaman dan kuantiti melebihi anggaran asal.
“Projek ini sebelum ini mengalami kelewatan kerana kedalaman sebenar dan kuantiti kerja cerucuk melebihi anggaran asal.
“Spesifikasi cerucuk yang diperlukan mencapai kedalaman 48 meter bagi setiap titik berbanding anggaran awal hanya 21 meter, sekali gus menyebabkan lanjutan masa selama 45 hari diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai projek kuarters Jabatan Penyiaran di Sibu, Sri Aman dan Limbang serta Kompleks Penyiaran RTM Bintulu di Pejabat RTM di sini, hari ini.
Susulan itu, tarikh siap baharu projek berkenaan ditetapkan pada 17 September 2027.
Kuarters berkenaan merangkumi 12 unit apartmen dua tingkat Kelas G dan empat unit Kelas F yang dibina bagi meningkatkan keselesaan serta kebajikan kakitangan RTM.
Teo berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di bawah Kementerian Komunikasi berjalan lancar serta mematuhi spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak mempunyai enam projek pembangunan di bawah program sambungan Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk lima projek RTM dan satu projek Jabatan Penerangan.
Setakat 31 Oktober, projek RTM di Bintulu dan Limbang secara keseluruhannya menunjukkan perkembangan yang memuaskan, manakala pembinaan kuarters RTM Sri Aman dan bangunan tambahan Jabatan Penerangan di Kuching masing-masing mengalami kelewatan selama dua dan empat bulan.
Oleh Tarani Lanting



