TEBEDU, 16 November: Sebanyak 68 projek rumah ibadat dengan peruntukan keseluruhan RM10.14 juta dilaksanakan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti pelbagai agama di kawasan berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan keperluan masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang terus diberi perhatian.
Menurutnya, bantuan menerusi UNIFOR merangkumi pembinaan, pembaikan, penaiktarafan serta penyediaan kelengkapan rumah ibadat bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa untuk komuniti menjalankan aktiviti keagamaan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil kira keperluan semua masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang.
“Melalui UNIFOR, kita mahu memastikan komuniti pelbagai agama turut mendapat manfaat daripada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Projek di kawasan DUN Tebedu, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Temong Mawang, hari ini.
Uggah berkata, komitmen kerajaan terhadap kebajikan rumah ibadat turut dizahirkan menerusi peruntukan sebanyak RM565 juta bagi tempoh 2017 hingga 2026 untuk pembinaan, pembaikan, penaiktarafan dan penyediaan kelengkapan rumah ibadat agama-agama lain di seluruh Sarawak.
Selain pembangunan rumah ibadat, kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada kemudahan pendidikan menerusi bantuan kepada sekolah mubaligh di negeri ini.
Bagi tempoh 2021 hingga 2026, sebanyak RM120 juta diperuntukkan di seluruh Sarawak bagi membantu memenuhi keperluan sekolah mubaligh, termasuk menaik taraf kemudahan bangunan serta meningkatkan prestasi akademik murid, khususnya dalam mata pelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Khusus di DUN Tebedu, sebanyak 23 projek diluluskan bagi tempoh 2021 hingga Fasa 1 2026 dengan peruntukan berjumlah RM2.65 juta.
Menurut Uggah, bantuan berkenaan penting bagi memastikan sekolah mubaligh mempunyai kemudahan pembelajaran yang lebih baik serta mampu memenuhi keperluan pendidikan semasa.
“Usaha membantu sekolah mubaligh merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh kemudahan pendidikan dan menyokong peningkatan prestasi murid, khususnya dalam bidang STEM,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan pembangunan inklusif kerajaan Sarawak bukan sahaja memberi perhatian kepada pembangunan fizikal, malah turut merangkumi keperluan keagamaan dan pendidikan masyarakat.
Uggah berharap semua bantuan yang disalurkan menerusi UNIFOR dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti penerima, sekali gus memastikan rumah ibadat terus berfungsi sebagai pusat kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan.
Usaha itu juga diharap dapat memupuk semangat saling menghormati serta memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama di Sarawak.
Oleh Adi Safarman



