KABONG, 16 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isterinya, Datin Meryani Yassin, menziarahi keluarga mendiang Penghulu Satu @ Michael Dajie Awi di Rumah Bujang, Empayang Baroh, Kabong, hari ini bagi menyampaikan salam takziah serta memberi penghormatan terakhir.
Mendiang dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 6.00 pagi semalam di kediamannya di Rumah Bujang, Empayang Baroh, Kabong.
Kehadiran Chee Kadir bersama isteri bukan sahaja sebagai tanda penghormatan kepada mendiang, malah mencerminkan keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat sukar itu.
“Saya ingin merakamkan salam takziah kepada seluruh keluarga mendiang Penghulu Satu @ Michael Dajie Awi.
“Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.
Menurut beliau, pemergian mendiang pastinya meninggalkan kesan dan kenangan mendalam kepada keluarga, sanak saudara serta sahabat handai yang pernah mengenali dan rapat dengannya.
Beliau turut berharap agar seluruh keluarga mendiang terus tabah dan reda menghadapi kehilangan berkenaan.
Pemergian mendiang bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut mengundang rasa dukacita dalam kalangan mereka yang mengenali beliau.
Salam takziah kepada seluruh keluarga mendiang Penghulu Satu @ Michael Dajie Awi. Semoga mendiang bersemadi dengan aman.
Oleh Adi Safarman



